Berita Utama

Hampir 10,000 tandatangan petisyen Malaysia Sejahtera Tanpa Arak

PBT dituntut perketat undang-undang berkaitan arak

BANGI, 6 Rejab 1443H, Selasa – Hampir 10,000 rakyat Malaysia yang bertanggungjawab dan prihatin menurunkan tandatangan pada petisyen ‘Kempen Malaysia Sejahtera Tanpa Arak’, hari ini.

Petisyen itu dilancarkan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan Yayasan Maghfirah bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti PEACE, Indahnya Islam, PEMBELA dan ACCIN bagi membawa satu kempen gergasi kepada rakyat Malaysia berkenaan bahaya arak kepada masyarakat.

Menerusi laman change.org, penggerak kempen berkata, ia bukan sahaja disasarkan kepada orang Islam, namun untuk setiap lapisan masyarakat termasuk bukan Islam.

“Ini kerana, kita percaya bahawa kesan arak ini kepada masyarakat sangatlah besar. Bahkan, dalam mana-mana agama pun melarang penganutnya meminum arak,” katanya.

Gabungan itu berkata, kempen ini akan berjalan sepanjang Februari sehingga Mac di seluruh negara. 

Petisyen itu ditujukan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT), kerajaan Malaysia, Majlis Agama Islam Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri.

Katanya, kempen ini bukan sahaja berjalan daripada aspek kesedaran sahaja, tetapi turut menyentuh polisi-polisi negara.

Ia juga termasuk tatacara jualan arak di kedai-kedai serta penguatkuasaan undang-undang sedia ada terhadap apa-apa yang berkaitan dengan arak.

“Dengan langkah praktikal ini, empat tuntutan kempen ini; pertama, menuntut kerajaan agar menetapkan polisi komuniti bebas arak supaya tiada lagi program yang menghidangkan arak secara terbuka dan umum.

“Kedua, menuntut PBT agar menguat kuasa dan memperkemas undang-undang berkaitan arak serta memperketatkan lagi syarat-syarat membeli dan menjual arak.

“Ketiga, menuntut PBT agar tidak membenarkan penjualan arak di kedai-kedai serbaneka di kawasan majoriti muslim,” katanya.

Sementara yang terakhir, katanya, adalah menuntut pihak berkuasa agar membuat pemeriksaan dan pemantauan yang lebih ketat ke atas pemandu-pemandu mabuk terutamanya di waktu malam.

“Oleh itu rakyat Malaysia, mari sama-sama kita tandatangan dan sebarkan petisyen ini sebagai usaha kecil kita sehingga ‘Malaysia Sejahtera Tanpa Arak’,” katanya lagi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button