Berita Utama

Kempen ‘Malaysia Sejahtera Tanpa Arak’ bukan sekadar atas kertas

Rancang adakan pertemuan dengan PM demi pastikan objektif tercapai

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI 6 Rejab 1443H, Selasa – Demi memastikan objektif tercapai, Sekretariat Kempen ‘Malaysia Sejahtera Tanpa Arak’ berhasrat untuk mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta ketua-ketua agensi kerajaan dalam masa terdekat.

Naib Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Mohd Noor Azib Asmangi berkata, pertemuan itu adalah bertujuan mendapatkan sokongan kerajaan dalam menjayakan kempen berkenaan.

Beliau berkata, pihak sekretariat masih menunggu masa yang sesuai untuk mengadakan pertemuan itu.

“Menerusi pertemuan tersebut, kita berharap Datuk Seri Ismail Sabri memberi sokongan dengan apa yang kita lakukan selain dapat merancang pelaksanaan berkesan ke arah Malaysia Sejahtera Tanpa Arak.

“Kita tidak mahu kempen ini sekadar dijayakan di atas kertas semata-mata, tetapi perlu ada pelaksanaan sebagai bukti kejayaan terhadap kempen yang dijalankan,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Kempen dilancarkan pada 5 Februari lalu adalah anjuran bersama ISMA dan Yayasan Maghfirah, yang bukan hanya disasarkan kepada golongan muslim, tetapi juga untuk setiap lapisan masyarakat di negara ini.

Kempen itu turut mendapat sokongan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) lain antaranya Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Persatuan Kebajikan Darul Islah Selangor (PERKID), Malaysia Alliance of Civil Society Organisation (MACSA) dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM).

Mengulas lanjut, Mohd Noor Azib berkata, buat masa ini, pelbagai pihak mahu bekerjasama selain menyatakan sokongan mereka untuk menjayakan kempen yang berlangsung secara ‘gergasi’.

Atas sebab itu, pihaknya dalam usaha mewujudkan sekretariat kempen di peringkat pusat dan bersama-sama dengan NGO serta pemimpin masyarakat lain.

Pada masa sama, beliau turut merancang untuk melanjutkan tempoh kempen ke suatu tarikh yang belum ditetapkan memandangkan usaha itu mendapat sambutan hebat daripada orang ramai.

“Kita tidak menjangkakan respon rakyat terlalu padu malah belum sampai seminggu lebih 10,000 tandatangan petisyen berjaya dicapai sekali gus membuktikan maklum balas positif di atas penganjuran kempen ini.

“Kita juga bersetuju untuk melanjutkan lagi tempoh petisyen yang diadakan secara atas talian dan juga secara fizikal yang sepatutnya berakhir bulan depan ke suatu tarikh yang belum dimuktamadkan lagi,” katanya.

Katanya, satu pelan kebangsaan berhubung polisi umum bebas arak juga akan diwujudkan untuk dijadikan garis panduan jelas kepada masyarakat.

Beliau berkata, langkah itu penting memandangkan Malaysia sebuah negara Islam dan ditadbir oleh pemimpin yang majoritinya beragama Islam.

Justeru, Mohd Noor Azib berharap semua pihak bertanggungjawab dalam menjayakan kempen itu, selain dapat merealisasikan Malaysia mampu hidup aman tanpa arak.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button