Berita Utama

Kes Adib: Koroner ada kuasa dengar prosiding komital terhadap bekas AG

Mahkamah Rayuan benar permohonan tangguh rayuan Mohd Kassim

PUTRAJAYA, 6 Rejab 1443H, Selasa – Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan bahawa koroner yang mendengar inkues kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan kebenaran untuk memulakan prosiding komital terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Dalam keputusan sebulat suara, panel tiga hakim yang diketuai Datuk Suraya Othman berkata, koroner mempunyai bidang kuasa dan kuasa untuk mendengar, menghukum bagi apa-apa jenis penghinaan, walaupun di hadapan mahkamah atau di luar mahkamah.

Beliau berkata, mahkamah juga mendapati tiada merit dalam hujah peguam Datuk S. Ambiga, yang mewakili Thomas, bahawa kuasa Majistret untuk menghukum adalah terhad kepada penghinaan di hadapan mahkamah semata-mata kerana perkataan yang digunakan dalam peruntukan.

“Dalam Perenggan 26 Jadual Ketiga Akta Mahkamah Rendah 1948, perkataan ‘kuasa untuk mengambil tahu mana-mana penghinaan mahkamah’ digunakan untuk menggariskan hukuman bagi perkara-perkara penghinaan di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret.

“Ambiga berhujah bahawa perkataan itu bermakna Mahkamah Majistret hanya mempunyai kuasa untuk menangani penghinaan mahkamah di hadapan mahkamah dan bukan di luar mahkamah. Kes yang dipetik oleh Ambiga tidak terpakai di Malaysia di bawah Seksyen 3 (1) Akta Undang-undang Sivil 1956.

“Oleh itu, kami mendapati tiada merit dalam rayuan ini, justeru, kami menolak rayuan Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung sama ada Mahkamah Koroner mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan prosiding komital,” kata hakim itu yang bersidang bersama Hakim Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Hashim Hamzah.

Keputusan yang disampaikan dalam prosiding secara maya hari ini disertai Ambiga dan Zainur Zakaria yang mewakili Thomas manakala peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla bertindak bagi pihak bapa Allahyarham Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid.

Selepas keputusan itu disampaikan, Zainur berkata, mereka telah diarahkan supaya merayu ke Mahkamah Persekutuan dan kemudian memohon Mahkamah Rayuan menangguhkan prosiding rayuan lain oleh Mohd Kassim, sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan selesai.

Mohamed Haniff Khatri berkata, mereka akan mengemukakan bantahan di Mahkamah Persekutuan, mengenai sama ada Thomas boleh merayu ke mahkamah tertinggi itu.

Beliau berkata, ini kerana rayuan Thomas sebenarnya bertentangan dengan keputusan Mahkamah Koroner, yang berada di peringkat bawah Mahkamah Tinggi. 

Hakim Suraya membenarkan permohonan menangguhkan rayuan Mohd Kassim dan menambah bahawa ini kerana rayuan ke Mahkamah Persekutuan melibatkan perkara penting dalam bidang kuasa mahkamah rendah untuk mendengar prosiding penghinaan.

Dua lagi rayuan dikemukakan Mohd Kassim termasuk rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengetepikan keputusan koroner yang memberinya kebenaran untuk memulakan prosiding komital terhadap Thomas.

Dalam permohonannya, Mohd Kassim mendakwa Thomas telah menghina mahkamah melalui afidavit yang difailkan oleh AGC pada 3 April 2019, berhubung punca kematian anaknya.

Muhammad Adib, yang ketika meninggal dunia berusia 24 tahun, merupakan anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, pada 27 November 2018.

Muhammad Adib meninggal dunia pada 17 Disember 2018 selepas 21 hari menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Pada 27 September 2019, Mahkamah Koroner memutuskan bahawa kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah oleh lebih daripada dua individu.-  Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button