Berita Utama

Lagi kluster institusi pendidikan direkodkan di Sabah

18 individu babit pelajar Sekolah Menengah Maktab

KOTA KINABALU, 6 Rejab 1443H, Selasa – Sebanyak 18 individu membabitkan pelajar Sekolah Menengah (SM) Maktab di sini antara yang terlibat dengan kluster baharu institusi pendidikan di Sabah yang direkodkan semalam.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata kluster baharu dikenali sebagai Kluster Jalan Pintas Sembulan di sini dan satu kluster tempat kerja iaitu Kluster Giram di Kunak adalah dua kluster direkodkan semalam.

“Kluster Jalan Pintas Sembulan melibatkan kes indeks mula bergejala 3 Februari dan menjalani ujian saringan pada hari sama kemudian didapati positif COVID-19. Sebanyak 79 orang kontak rapat disaring dan mengesan 17 lagi kes positif,” katanya dalam kenyataan.

Jurucakap COVID-19 Sabah itu berkata Kluster Giram berlaku di Ladang Giram di Kunak tercetus apabila kes indeks seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun disahkan positif COVID-19 di klinik swasta pada 31 Jan selepas bergejala pada hari sama.

“Saringan terhadap kontak sekerja dan kontak keluarga kemudiannya mendapati 19 lagi kes positif menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 20 kes termasuk tiga kes baharu dilaporkan pada hari ini,” katanya.

Masidi berkata angka jangkitan bagi Sabah terus meningkat dengan jumlah kes baharu sebanyak 1,600 kes iaitu peningkatan 315 kes berbanding kelmarin sebanyak 1,285 kes.

“Sebanyak 47.55 peratus jangkitan baharu hari ini berlaku secara sporadik dan hanya disedari apabila pesakit mengalami gejala jangkitan COVID-19,” tambahnya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button