Berita Utama

Omicron: Majikan wajar benar BDR walau keperluan tak mendesak

Syor buat pembahagian tugas bagi syarikat perkhidmatan, operasi

BANGI 6 Rejab 1443H, Selasa – Majikan wajar memberikan kebebasan untuk membenarkan pekerja kembali bekerja dari rumah (BDR), susulan lonjakan kes akibat varian Omicron.

Pemangku Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, dalam keadaan penularan ketika ini, keperluan BDR masih tidak mendesak namun majikan perlu bersedia.

Katanya, dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat pasti boleh mengawal penularan wabak, selain memastikan persekitaran tempat kerja yang selamat.

“Keadaan penularan ketika ini masih terkawal dan keperluan BDR masih boleh dijadikan pilihan majikan.

“Apa yang penting, semua pihak perlu memastikan pematuhan SOP dipatuhi supaya tiada penularan berlaku dalam kalangan pekerja,” katanya seperti dipetik Berita Harian, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, ada sesetengah majikan yang tidak boleh mengimplimentasikan cadangan itu, khususnya membabitkan operasi.

“MTUC berpendapat, BDR boleh memberi kesan kepada syarikat yang memfokuskan perkhidmatan dan operasi.

“Namun, majikan juga boleh membuat pembahagian tugasan jika keadaan memerlukan,” katanya.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan (KKM) menggalakkan majikan di negara ini untuk meneruskan dasar BDR bagi memastikan persekitaran tempat kerja yang selamat untuk pekerja.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya juga menggalakkan sistem penggiliran kehadiran ke pejabat ketika kes COVID-19 semakin meningkat berikutan jangkitan varian Omicron.

Kes baharu COVID-19 direkodkan melebihi paras 10,000 untuk tiga hari berturut-turut apabila 13,944 kes dilaporkan setakat 12 tengah hari ini berbanding 11,034 kes, semalam.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button