Berita Utama

Vaksinasi, dos penggalak bantu kurangkan kemasukan ke hospital

Indikator utama COVID-19 tinggi ketika gelombang Delta landa negara

KUALA LUMPUR, 6 Rejab 1443H, Selasa – Vaksinasi dan dos penggalak telah banyak membantu mengurangkan kes-kes kemasukan ke hospital, Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kematian ketika gelombang Omicron melanda negara ketika ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. 

Menerusi laman sosial Twitter rasminya, beliau berkata, bagaimanapun keadaan ini berbeza ketika negara dilanda gelombang Delta sebelum ini apabila kes harian mencecah lebih 10,000, dan indikator utama COVID-19 juga tinggi. 

“Ketika itu masih ramai belum menerima vaksin COVID-19. Berlainan pula apabila gelombang Omicron melanda negara ketika ini,” katanya. 

Menurut infografik perbandingan indikator utama COVID-19 semasa gelombang Delta dan Omicron yang turut dimuat naik, kes harian baharu adalah sebanyak 11,079 pada 13 Julai 2021, manakala semalam 11,034 kes baharu direkodkan.

Bagi kes kemasukan ke hospital sebanyak 1,988 kes direkodkan pada 13 Julai lepas dan 1,253 kes direkodkan semalam manakala bagi bilangan kemasukan kes COVID-19 ke ICU, sebanyak 1,436 kes direkodkan pada 13 Julai 2021 manakala semalam merekodkan sebanyak 135 kes.

Kes kematian harian pada 13 Julai tahun lepas adalah sebanyak 193 manakala semalam sebanyak sembilan kes direkodkan. 

Berdasarkan infografik sama, kadar vaksinasi pada 13 Julai 2021 adalah sebanyak 3,940,548 manakala kadar vaksinasi yang direkodkan bagi semalam adalah 25,723,208 dengan jumlah yang lengkap divaksin dan dos penggalak sebanyak 12,473,13.-  Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button