Pendapat

Hutang negara tidaklah begitu merisaukan

Malaysia perlu kawal hutang dengan pihak luar demi kestabilan ekonomi

1. MAJORITI dari kita semua berhutang. Jadi mudah saya nak terangkan konsep hutang negara.

2. Halim berpendapatan RM10,000 sebulan (RM120,000 setahun). Isterinya, Halimah hanya membenarkan Halim berhutang sebanyak 60% dari pendapatan tahunannya (RM72,000) pada satu-satu masa.

3. Halim ialah Malaysia. Pendapatan tahunannya ialah KDNK (kurang tepat tapi sekadar analogi untuk mudahkan kefahaman). Halimah ialah Parlimen Malaysia.

4. Hutang negara diukur dengan peratusan dari KDNK atau GDP dan kini berada pada paras 58% KDNK (RM870 billion), menghampiri batas 60% yang diluluskan oleh Parlimen.

5. Adakah keadaan ini teruk? Sebagai perbandingan, negara termaju dunia USA mempunyai hutang 64% GDP, China 57% GDP dan German 60% GDP.

6. Pengecualian hanya untuk Jepun (negara ketiga termaju dunia) yang menanggung 250% GDP hutang negara! Ini bersamaan dengan Halim berhutang sebanyak RM300,000 ketika gaji tahunannya hanya RM120,000.

7. Jepun mampu kekal sebagai negara termaju walaupun dengan hutang yang amat tinggi kerana semua hutang dibuat dalam negara (individu, entiti perniagaan dan dana pencen yang dimiliki oleh kerajaan sendiri), kadar faedah yang rendah (bawah 1%) dan keyakinan tinggi para pelabur dan rakyat Jepun terhadap kemampuan kerajaan membayar semula hutang-hutang tersebut.

8. Ironiknya, Jepun turut memberikan pinjaman kepada negara dunia lain termasuk Malaysia!

9. Jadi mengikut piawaian antarabangsa, hutang negara kita tidaklah begitu merisaukan. Apa yang perlu dirisaukan bukan sangat nilai hutang negara, tapi jika hutang dibuat dengan entiti luar negara terutama yang berkepentingan.

10. Malaysia perlu mengawal hutang yang dibuat dengan pihak luar seperti Jepun dan Bank Dunia bagi memastikan kestabilan ekonomi dan kedaulatan negara.

Ir Ts Lukman Al Hakim
Setiausaha Agung BERJASA

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button