Berita Utama

Jangan lakukan pembakaran terbuka: JAS

Negara sedang alami cuaca panas dan kering ketika ini

KUALA LUMPUR, 7 Rejab 1443H, Rabu – Orang ramai diingatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka ketika cuaca panas dan kering ketika ini berikutan negara sedang mengalami fasa kedua Monsun Timur Laut sehingga pertengahan Mac ini.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam kenyataan berkata dalam tempoh itu, taburan hujan di seluruh negara akan mengalami pengurangan dan menyebabkan keadaan cuaca yang panas dan kering di Semenanjung Malaysia.

“Sewaktu tempoh cuaca panas dan kering ini, dikhuatiri peningkatan kejadian pembakaran terbuka terutamanya di kawasan yang mudah dan sering terbakar seperti di kawasan tanah gambut dan tapak pelupusan sampah.

“Ini termasuk juga peningkatan kes dan aduan pembakaran terbuka di tapak-tapak pembuangan sampah haram, kawasan perumahan atau kejiranan,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, JAS menggesa supaya kewujudan tapak-tapak pembuangan sampah haram dapat dibanteras dan tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas diambil untuk menangani isu pembakaran terbuka serta pencemaran udara.

Mereka yang disabit kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh didenda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 29 (A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, selain kompaun sehingga RM2,000 juga boleh dikenakan atas setiap kesalahan.

Orang ramai diminta melaporkan kes pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di talian 999 dan JAS di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau melalui e Aduan JAS di laman sesawang https://eaduan.doe.gov.my. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button