Dunia

Kabinet Palestin kutuk insiden bunuh 3 rakyatnya

Desak siasatan antarabangsa dibuat terhadap jenayah kejam Israel

RAMALLAH, 7 Rejab 1443H, Rabu – Kabinet Palestin dan Kementerian Luar Negeri dalam dua kenyataan berasingan mengutuk insiden bunuh tiga rakyatnya di bandar Nablus, Tebing Barat semalam, sekali gus menuntut siasatan antarabangsa dibuat terhadap serangan tentera Israel itu.

Kabinet – ketika bermesyuarat di Ramallah – mengeluarkan kenyataan yang mendesak siasatan antarabangsa dilakukan terhadap ‘jenayah kejam’ Israel, selain menyeru Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta pertubuhan hak asasi manusia mengutuk kejadian berkenaan.

Awal semalam, askar Israel melepaskan tembakan ke arah kereta rakyat Palestin di kawasan kejiranan Nablus sehingga membunuh tiga penumpangnya – insiden yang disifatkan sebagai pembunuhan di luar undang-undang.

Dalam kenyataan berasingan, Kementerian Luar Negeri dan Ekspatriat turut mengutuk pembunuhan itu dengan mengheret kerajaan Tel Aviv serta Perdana Menteri, Neftali Bennett bertanggungjawab sepenuhnya atas jenayah berkenaan.

Katanya, sikap berdiam diri masyarakat antarabangsa terhadap pencabulan dan jenayah Israel memberikan perlindungan kepada tindakan rejim itu serta menggalakkan penjajah Israel untuk meneruskan peperangan terbukanya dengan rakyat Palestin.

Kementerian itu menggesa Setiausaha Agung PBB menggalas tanggungjawab dan mengaktifkan mekanisme perlindungan antarabangsa untuk rakyat Palestin, selaras resolusi Perhimpunan Agung PBB.

Pada masa sama, kementerian turut menggesa pentadbiran Amerika Syarikat (AS) untuk memberikan tekanan kepada kerajaan Israel bagi menamatkan jenayah mereka.

Kenyataan itu juga menggesa Mahkamah Jenayah Antarabangsa mempercepatkan siasatan terhadap Israel dan jenayahnya ke atas wilayah Palestin. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button