Berita Utama

Klip video tular kait PDRM tidak benar

Pelaku dalam kejadian tular telah dihadap ke mahkamah

BANGI, 7 Rejab 1443H, Rabu – Bukit Aman menafikan dakwaan daripada sebuah klip video tular berhubung insiden jenayah yang mengandungi kenyataan tidak benar terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, pihaknya mengesan penularan sebuah klip video berdurasi 4 minit 59 saat melalui aplikasi Whatsapp.

Katanya, klip video itu memaparkan beberapa kejadian individu dipukul oleh pihak yang didakwa ahli kepada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Persatuan Harapan India Malaysia (PHIM) dengan kenyataan tiada sebarang tindakan diambil oleh polis.

“Semakan mendapati video tersebut mengandungi rangkuman beberapa kejadian jenayah yang dikenal pasti berlaku di sekitar kawasan Selangor dan Pulau Pinang pada tahun 2020.

“Paparan klip video tersebut mengandungi kenyataan yang tidak benar terhadap PDRM kerana siasatan telah dijalankan ke atas kejadian-kejadian yang ditularkan dan pelaku berkaitan telah dihadapkan ke mahkamah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, perbuatan menularkan kandungan kenyataan yang boleh menyebabkan ketakutan dan kegentaran awam adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Justeru, tindakan tegas tanpa kompromi bakal diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja melakukan kesalahan ini, katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button