Berita Utama

PRN Johor: PN dijangka tak tanding di semua 56 kerusi DUN

Bakal umum senarai calon serentak bersama PAS, Gerakan minggu ini

BANGI, 7 Rejab 1443H, Rabu – Perikatan Nasional (PN) dijangka tidak bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Naib Pengerusi PN Johor, Senator Md Nasir Hashim berkata, senarai calon PN yang akan bertanding dalam pilihan raya itu akan diumumkan dalam minggu ini.

Beliau berkata, pengumuman akan dilakukan serentak membabitkan parti komponennya iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), PAS dan Gerakan.

“Perincian mengenai pembahagian kerusi serta kerusi yang akan ditandingi itu masih belum dapat didedahkan sehinggalah pengumuman yang dibuat oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Hasil perbincangan yang dibuat bersama PAS dan Gerakan sebelum ini sudah mencapat kesepakatan dari segi pembahagian kerusi DUN yang akan ditandingi,” katanya seperti dilapor media tempatan, hari ini.

Md Nasir yang juga Timbalan Pengerusi Bersatu berkata, perbincangan berhubung pengagihan kerusi berjalan lancar dan tidak timbul isu perebutan membabitkan parti-parti komponen.

Katanya, senarai nama calon sudah dilengkapkan namun tidak boleh didedahkan kerana akan diumumkan secara terperinci oleh Muhyiddin.

“Perkara itu belum boleh didedahkan kerana tidak mahu mengganggu strategi parti.

“Saya sendiri tidak tahu calon yang akan bertanding, bahkan saya sendiri tidak tahu sama ada saya turut dicalonkan atau tidak,” katanya.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac depan sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh dalam sidang media hari ini berkata, hari penamaan calon ditetapkan pada 26 Februari dan tarikh untuk pengundi awal pula pada 8 Mac nanti.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button