Berita Utama

Semak latar belakang ‘ustaz’ media sosial, elak ajaran sesat

'Walaupun ada tanda suka beratus ribu, kita kena periksa'

IPOH, 9 Jamadilakhir 1443H, Rabu – Mana-mana pihak perlu menyemak latar belakang penceramah atau pengajar ilmu di media sosial terlebih dahulu kerana diragui dengan kemunculan ajaran sesat, kata Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Datuk Mohd Yusop Husin.

Beliau berkata orang ramai boleh merujuk kepada pihak berkuasa seperti Pejabat Agama Islam Negeri atau Daerah bagi menyemak latar belakang seseorang individu itu.

“Kita akui ada ajaran meragukan termasuk di YouTube…di Facebook, TikTok, macam-macam ada secara maya. Walaupun ada tanda suka beratus ribu, tetapi kita kena periksa dahulu kelompok seperti ini yang cuba menyebarluaskan ajaran tidak begitu menyenangkan dan menyesatkan.

“Takut ia boleh menyebabkan masyarakat seleweng… Lihat dahulu siapa, kita risau ada yang ambil kesempatan dan membawa maksud lain (apabila mengajar),” katanya selepas merasmikan sebuah program berkaitan masjid sebagai pusat informasi maya di Masjid Sultan Idris Shah II di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai beberapa individu tanpa tauliah yang menyebarkan ajaran Islam di media sosial ketika ini sehingga ada yang mengelirukan masyarakat.

Justeru, Mohd Yusop menasihati umat Islam supaya mempelajari ilmu agama dengan guru yang bertauliah supaya tidak terjebak dengan sebarang fahaman sesat.

“Jemputan ceramah untuk selebriti atau mana-mana pihak masjid, surau, penganjur perlu mendapatkan kebenaran daripada Pejabat Agama Islam Daerah dan permintaan itu perlu dikemukakan 14 hari sebelum melakukan penyebaran dakwah,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button