SPR kemas kini SOP pencegahan COVID-19 untuk PRN Johor
Sasar 70 peratus pengundi keluar mengundi pada 12 Mac
BANGI, 7 Rejab 1443H, Rabu – Satu prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 sedang dikemas kini bagi tujuan mencegah penularan wabak sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, kemas kini SOP itu dibuat bersama SPR dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang akan dimaklumkan setelah dimuktamadkan nanti.
Beliau berkata, SPR menyasarkan 70 peratus pengundi akan keluar mengundi pada 12 Mac nanti.
“Bagi menggalakkan pengundi supaya keluar menunaikan tanggungjawab mereka pada hari mengundi, SPR akan melaksanakan kempen ‘Jom Kita Undi’ melalui pelbagai saluran media termasuk di media elektronik, media sosial, hebahan melalui siar raya dan pemasangan kain rentang di lokasi-lokasi strategik tumpuan awam dan tempat-tempat lain yang bersesuaian.
“SPR juga memohon kerjasama semua pihak termasuk media dan parti-parti politik agar turut mengambil langkah untuk menyeru dan menggalakkan pengundi supaya keluar mengundi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, SPR menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor, dengan tarikh penamaan calon ditetapkan pada 26 Februari manakala pengundian awal pada 8 Mac 2022.
Berdasarkan Daftar Pemilih Induk 2021, seramai 2,597,742 orang pengundi terdiri daripada 2,574,835 (pengundi biasa), anggota tentera dan pasangan (10,955), 11,576 anggota polis dan pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) serta 376 orang Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara.
PRN Johor diadakan selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan pada 22 Januari atas perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Pembubaran DUN dibuat selepas kerajaan Johor memiliki majoriti tipis iaitu 28 kerusi berbanding 27 kerusi di blok pembangkang.
Ini susulan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian yang juga bekas Menteri Besar pada 21 Disember lalu.