Berita Utama

Tentera Israel tembak mati 3 pejuang Palestin

80 butir peluru dilepaskan ke arah kenderaan dinaiki mangsa

TEBING BARAT, 7 Rejab 1443H, Rabu – Tentera negara pengganas Israel menembak mati tiga rakyat Palestin di bandar Nablus di Tebing Barat diduduki ketika menjalankan operasi yang disasarkan, kata Kementerian Kesihatan Palestin menyifatkan insiden itu sebagai ‘pembunuhan’.

Tiga lelaki itu dikenali sebagai Adham Mabrouka, Ashraf Mubaslat dan Mohammed al-Dakhil merupakan anggota Briged Syuhada al-Aqsa Fatah.

Mereka ditembak ketika memandu kenderaan dengan orang keempat yang ditahan, menurut agensi berita Palestin, Wafa.

Video dari lokasi kejadian di kawasan kejiranan Makhfiya di Nablus menunjukkan sebuah kereta ditembak, yang dilaporkan kenderaan digunakan empat lelaki berkenaan.

Saksi kejadian Batoul Koussa memberitahu Middle East Eye bahawa dua kenderaan persendirian dengan nombor plat Palestin, memandu ke arah persimpangan al-Makhfiya sebelum tentera Israel keluar dan melepaskan tembakan.

Tentera mengepung kenderaan yang membawa kesemua lelaki Palestin itu dan mula menembak ke arah mereka dari semua arah menerusi jarak dekat.

Koussa berkata, lebih 80 butir peluru dilepaskan ke arah kenderaan berkenaan.

Tentera Israel berundur selepas mereka mengesahkan kematian tiga pemuda yang berada di dalam kenderaan itu.

Mayat mereka dibawa ke hospital Rafidia.

Ratusan orang berkumpul bagi menunjukkan solidariti bersama keluarga mangsa.

Kementerian Luar mengecam dan menyelar Israel atas ‘kekejaman yang keji’.

“Jenayah itu adalah sebahagian daripada siri hukuman mati di lapangan jenayah yang dilakukan oleh pasukan pendudukan mengikut arahan dan perintah peringkat politik serta ketenteraan,” katanya dalam satu kenyataan.

Gabenor Nablus, Ibrahim Ramadan mengumumkan hari berkabung dan mogok seluruh bandar esok.

Beberapa puak Palestin mengutuk serangan itu, termasuk Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas), Jihad Islam dan Barisan Popular bagi Pembebasan Palestin.

Pembunuhan berlaku di tengah-tengah peningkatan keganasan peneroka di seluruh Tebing Barat dalam beberapa bulan kebelakangan ini, terutamanya berhampiran Nablus. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button