Tidak sah ibadah haji, umrah melalui VR
Inisiatif Arab Saudi manfaatkan orang ramai untuk belajar

BANGI, 7 Rejab 1443H, Rabu – Kerajaan Arab Saudi melalui Pengurusan Masjid al-Haram, baru-baru ini memperkenalkan inisiatif ‘Virtual Black Stone’ (Hajar al-Aswad secara maya) yang membolehkan ia disentuh secara maya menerusi kemudahan teknologi realiti maya (VR).
Namun, ada sesetengah yang berpandangan tidak perlu lagi pergi umrah dan haji kerana Masjid al-Haram boleh dikunjungi secara maya pada bila-bila masa sahaja serta boleh terus melakukan ibadah melalui VR tersebut.
Menurut bekas Menteri di Jabatan Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, beliau menyokong penuh inisiatif dilakukan Arab Saudi memperkenalkan teknologi VR bagi membolehkan umat Islam seluruh dunia merasai suasana berada di hadapan Kaabah di dalam Masjid al-Haram.
Beliau berkata, melalui inisiatif itu bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran, ramai orang yang akan dapat memanfaatkan teknologi berkenaan untuk belajar melakukan haji dan umrah secara VR.
“Namun begitu, tidak wajar untuk sesetengah pihak menganggap bahawa dengan adanya VR di hadapan Kaabah, sudah cukup untuk tidak mengunjungi Kaabah secara nyata dan boleh melakukan ibadah melaluinya, sedangkan hakikatnya dia berada di bilik rumahnya.
“Kami tegaskan bahawa ibadah haji dan umrah wajib dilakukan di tempat-tempat yang telah disyariatkan untuk dilakukan padanya, seperti di Masjid al-Haram, tempat bersa’ie, Mina, Arafah dan Mudzalifah.
“Sekiranya ia hanya hadir secara virtual, maka tidak sah ibadah haji dan umrahnya,” katanya dalam penerangan di Maktabah Al-Bakri, hari ini.
Dr Zulkifli berkata, Lembaga Pengarah Ehwal Keagamaan Turki (Diyanet) mengisytiharkan bahawa menziarahi Kaabah melalui VR tidak dianggap sebagai menunaikan haji yang sah.
“Selepas berbincang selama sebulan, Diyanet memuktamadkan keputusan ini pada 1 Februari 2022 bahawa meskipun lawatan ke Kaabah boleh dilakukan menerusi VR, ia tidak akan dikira sebagai mengerjakan ibadah haji yang sah.
“Hal ini kerana ibadah haji sepatutnya dan akan dikerjakan dengan menjejakkan kaki ke tanah suci,” katanya.