Berita Utama

MTEM sokong penuh cadangan gaji minimum RM1,500

Harap kerajaan tidak tunda rancangan hingga selepas PRU15

BANGI, 8 Rejab 1443H, Khamis – Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) menyambut baik cadangan Menteri Sumber Manusia untuk meningkatkan kadar gaji minimum dari RM1,500 sebulan pada hujung tahun ini.

Pengerusinya, Halim Husin berkata, kesan jangka panjang akibat gaji yang rendah di Malaysia menyebabkan kebanyakan rakyat sukar untuk menangani kos sara hidup walaupun keperluan asas.

Justeru, beliau berkata, cadangan meningkatkan gaji minimum itu disokong sepenuhnya memandangkan ia adalah langkah yang lama tertunggak oleh kerana gaji dan upah di Malaysia amat rendah.

“Mengikut tanda aras antarabangsa, gaji minimum wajar pada tahap 60 peratus daripada gaji penengah.

“Jika gaji penengah sebelum pandemik adalah RM2,442, gaji minimum kita sepatutnya sudah mencecah RM1,465,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebagai langkah sementara, Halim menyarankan kerajaan untuk meningkatkan kadar gaji minimum kepada RM1,350 serta-merta pada Mac ini, sebelum meningkatkan kepada cadangan peningkatan RM1,500 pada Januari 2023.

Beliau berkata, cadangan itu susulan kerana Perintah Gaji Minimum 2020 telah lupus pada akhir tahun ini.

“Walaupun perkara ini akan beri kesan pada perniagaan, perlu difahami peningkatan gaji ini bertindak serampang dua mata.

“Di samping meningkatkan kos operasi, ia juga akan meningkatkan permintaan untuk pelbagai barangan dan perkhidmatan berkali ganda disebabkan ‘kesan multiplier’,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan dilaporkan berkata akan mengemukakan cadangan gaji minimum dari RM1,500 kepada Jemaah Menteri.

Beliau berkata, walaupun nilai sebenar kadar baharu itu belum dimuktamadkan, Saravanan positif perkara itu boleh direalisasikan selepas mendapat persetujuan Jemaah Menteri.

“Saya tidak boleh nyatakan lagi kadar gaji minimum yang dicadangkan oleh Kementerian Sumber Manusia, tetapi ia berada di paras sekitar RM1,500 ke bawah,” katanya.

Mengulas perkara itu, Halim mengharapkan supaya cadangan berkenaan tidak ditangguh sehingga selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Jelasnya, cadangan ini jika dilaksanakan akan beri kesan bermakna terhadap golongan miskin dan B40 – kebanyakan adalah golongan Bumiputera terdiri daripada orang Melayu, anak Sabah dan Sarawak serta orang asal.

“Namun, MTEM mencadangkan beberapa langkah wajar juga diambil untuk mengurangkan atau memperlahan impak jangka pendek kepada syarikat kecil dan mikro untuk masa yang terhad. Tetapi bagi syarikat sederhana dan besar, impaknya agak kecil bagi kebanyakan sektor.

“Kerajaan juga mestilah mempertimbangkan mekanisma untuk menambah baik golongan gaji pertengahan kerana kita bimbang peningkatan gaji minimum tidak semestinya akan menstruktur gaji dan upah mereka yang sudah mempunyai kemahiran dan pengalaman yang bernilai,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button