Berita Utama

Semakin banyak maahad tahfiz bakal ditutup jika tidak dibantu

Pandemik COVID-19 akibatkan lebih 80 peratus maahad terkesan

BANGI, 1 Rabiulawal 1443H, Jumaat – Lebih 80 peratus maahad tahfiz di seluruh negara ketika ini terkesan dengan pandemik COVID-19.

Lebih membimbangkan semakin banyak lagi bakal ditutup jika tidak dibantu secara serius oleh pihak kerajaan.

Pengasas Maahad Tahfiz Al Quran Qasimul Ulum (MATAQU), Ustaz Alauddin Ishak berkata, jika dihitung secara keseluruhannya, sudah lebih 1,000 buah berada di negeri-negeri lain dan kesemuanya sangat terkesan dan memerlukan bantuan segera dari pihak kerajaan.

Menceritakan pengalaman sendiri, beliau berkata, salah satu punca pertambahan perbelanjaan maahad tahfiz kerana terpaksa menyewa empat lot kedai bagi memenuhi dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Kalau secara umum tidak mengambil kira musim pandemik ketika sebelum PKP ini, kewangan kami alhamdulillah, tidak ada isu-isu yang besar seperti sekarang.

“Sudah 20 tahun kami menguruskan maahad tahfiz ini dengan kos pembangunan lebih kurang RM2 juta untuk membuat kompleks maahad tahfiz.

“Malah, sebelum pandemik kami ada pelajar sekitar 240 pelajar dan dapat menampung kapisiti melebihi 300 pelajar,” katanya seperti dilapor Samudera.my.

Beliau menjelaskan, walaupun pelajar semakin ramai, semua kos perbelanjaan masih boleh ditampung sendiri sebelum ini kerana kos penjimatan beroperasi di dalam bangunan sendiri dan tidak menyewa.

Bahkan, kewangan juga bertambah kukuh seiring dengan pertambahan pelajar sehingga lebihan kos dapat disimpan untuk digunakan sebagai dana kecemasan dan sebagainya.

Bagaimanapun, apabila negara dikenakan PKP, kewangan pengurusan maahad tahfiz itu pada peringkat awalnya terpaksa ditanggung sendiri oleh beliau dan isteri.

“Sehingga kini, kami juga sudah mula menghadapi masalah kerana kekurangan dana perbelanjaan disebabkan ramai ibu bapa yang terjejas ekonomi dan mereka tidak dapat membayar yuran,” katanya.

Beliau tidak menafikan bahawa kerajaan Pusat dan kerajaan negeri ada juga membantu maahad tahfiz sekarang ini.

“Tetapi kita berharap kerajaan memudahcarakan urusan-urusan berkaitan pentadbiran dengan maahad tahfiz,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button