Berita Utama

4,186 doktor kontrak dilantik jawatan tetap mulai Jun

Kerajaan setuju lantik 1,500 pegawai perubatan setiap tahun sehingga 2025

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 8 Rejab 1443H, Khamis – Sebanyak 4,186 pegawai perubatan, pergigian dan farmasi yang berkhidmat secara kontrak dengan Kementerian Kesihatan Malaysia diserap ke jawatan tetap bermula Jun depan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, lantikan tetap itu melibatkan 3,586 pegawai perubatan, 300 pegawai pergigian dan 300 pegawai farmasi.

“Kerajaan juga bersetuju melantik sekurang-kurangnya 1,500 pegawai perubatan pada setiap tahun mulai 2023 hingga 2025.

“Bagi menambah baik perkhidmatan kesihatan, kerajaan bersetuju supaya 800 jawatan tetap pakar perubatan dan 70 pakar pergigian diwujudkan di KKM pada setiap tahun mulai 2023,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, melalui keputusan tersebut, kira-kira 8,686 perjawatan tetap pegawai perubatan, pergigian dan farmasi diwujudkan sepanjang tempoh 2022 hingga 2025.

“Sebagai tambahan juga, 800 lagi lantikan tetap untuk pegawai perubatan dan 70 pegawai pergigian boleh dibuat pada setiap tahun bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh pegawai perubatan yang akan dilantik menjadi pakar perubatan,” katanya.

Selain itu, Khairy berkata, Jemaah Menteri bersetuju dengan pelan hala tuju yang sedang dibangunkan KKM bersama agensi dan kementerian berkaiatan bagi mencari penyelesaian dalam kemelut lantikan kontrak.

“Sebanyak empat pelan hala tuju iaitu tubuhkan Jawatankuasa Teknikal Sarjana Muda Perubatan dan Sarjana Muda Pembedahan Pergigian bagi mengoptimumkan kapasiti penawaran program dan kawal kualiti graduan.

“Menilai dan mengemaskini senarai Jadual Kedua Perubatan 1971; selain melaksanakan Peperiksaan Kelayakan Profesional bagi tangani isu kualiti dan kompetensi graduan,” katanya.

Malah, beliau menjelaskan, KKM juga berhasrat untuk kukuhkan Program Pengajian Kepakaran Kebangsaan.

“Maklumat lanjut berkenaan pelan hala tuju ini sedang diperhalusi dan akan dimuktamadkan.

“Perkembangan mengenai perkara ini akan dimaklumkan daripada semasa ke semasa,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button