Berita Utama

Calon PRN Johor perlu tunai janji: Azalina

‘Tak mahu bila rakyat beri undi, kemudian lepas menang lari’

BANGI, 8 Rejab 1443H, Khamis – Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said memberi peringatan kepada semua calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor supaya menjadi individu yang boleh menunaikan janji dan melaksanakan yang terbaik untuk pengundi.

Ahli Parlimen Pengerang mengaskan, beliau tidak mahu calon yang ditampilkan akan menjadi ‘katak’ selepas mendapat amanah daripada rakyat.

“Harapan saya mereka yang ditawarkan sebagai calon adalah yang boleh menunaikan janji dan melaksanakan yang terbaik untuk pengundi.

“Kita tidak mahu bila rakyat berikan dia undi kemudian lepas menang lari, tiba-tiba lompat jadi katak ini semua tidak mahu,” katanya seperti dipetik portal tempatan, hari ini.

Pada masa sama, katanya, calon berkenaan juga mestilah mempunyai personaliti memberangsangkan bagi menambat hati pengundi.

Malah, calon tersebut haruslah mereka yang hendak bekerja tidak kira sama ada orang lama atau baharu.

“Saya amat berharap mereka yang ditawarkan sebagai calon adalah yang boleh menunaikan janji dan melaksanakan yang terbaik untuk pengundi,” katanya.

Selain itu, Azalina menggesa supaya wakil rakyat yang bakal dipilih memberi tumpuan kepada tanggungjawab yang diberikan dan tidak melibatkan diri dalam hal yang boleh menggangu khidmat kepada rakyat.

“Kena jadi wakil rakyat yang profesional. Maknanya perkhidmatan dia untuk rakyat, jangan pula dia yang harapkan rakyat bekerja untuk dia.

“Ini nak jadi wakil rakyat, dia nak berniaga pula, nak dapat keuntungan, nak jadi director. Ini semua hanya akan menganggu khidmat sebagai wakil rakyat, sebab dia takkan meletakkan keutamaan kepada rakyat.

“Inilah gerakan perubahan yang mesti digerakkan oleh UMNO dan Barisan Nasional.

“Jangan ambil kesempatan kita bagi dia jawatan tapi harapkan pegar, pegar makan padi kemudian wujudkan pelbagai masalah dengan korupsi dan macam-macam… itu kita tidak mahu lagi,” katanya.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac ini sebagai tarikh PRN Johor bagi mengisi kekosongan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, PRN diadakan selepas pihaknya menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN, Suhaizan Kayat berhubung pembubaran DUN ke-14 pada 23 Januari lalu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button