Berita Utama

MOTAC atur sesi latihan SOP baharu kepada syarikat umrah

Perlu lantik PIC bagi kumpulan yang mempunyai 40 jemaah ke atas

BANGI, 8 Rejab 1443H, Khamis – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sedang mengatur sesi Training for Trainers (TOT) kepada semua syarikat pengendali umrah berlesen mengenai penggunaan prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi jemaah umrah.

MOTAC memaklumkan, seti latihan bagi SOP baharu umrah yang akan dikuatkuasakan 14 Februari ini akan dijalankan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM).

Berdasarkan pelaksanaan SOP baharu yang dipersetujui Mesyuarat Ke-12 Menteri Kuartet COVID-19 pada 8 Februari lalu, syarikat pengendali umrah perlu melantik Person in Charge (PIC) bagi kumpulan yang mempunyai 40 jemaah dan ke atas.

“PIC akan bertanggungjawab mengawal atau mengelola jemaah sepanjang perjalanan termasuk semasa di lapangan terbang atau Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) Malaysia.

“Bagi kumpulan yang kurang daripada 40 jemaah, PIC perlu menguruskan jemaah di PMA, manakala tatacara pengurusan dan bagaimana untuk memohon kebenaran PIC untuk masuk ke ruang PMA di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan dimaklumkan kemudian melalui persatuan-persatuan pengendali umrah,” katanya.

Selain itu, pengambilan dos penggalak turut diwajibkan serta membenarkan menjalani kuarantin wajib di tempat kediaman tanpa memohon kelulusan Home Quarantine Application (HQA).

“Jemaah juga dibenarkan menjalani kuarantin wajib di stesen kuarantin swasta dengan kos penginapan, makan minum dan rawatan ditanggung sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, MOTAC berkata, jemaah umrah yang melaksanakan perjalanan mengerjakan ibadah tersebut di dalam tempoh 8 Februari hingga 13 Februari boleh mengguna pakai tatacara SOP sebelum ini.

“Penggunaan SOP baharu akan mula diterima pakai sebaik sahaja jemaah kembali semula ke Malaysia.

“Ini termasuklah menjalani kuarantin di rumah secara automatik kecuali yang memilih untuk kuarantin di pusat kuarantin swasta,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button