Pelajar India protes bantah larangan berhijab
Sekolah di Karnataka tolak kemasukan pelajar muslim bertudung

KOLKATA, 8 Rejab 1443H, Khamis – Ratusan pelajar di bandar Kolkata di timur India pada Rabu melaungkan slogan dan berhimpun di jalanan sebagai protes terhadap larangan bertudung di negeri selatan Karnataka.
Pelajar yang membantah kebanyakannya adalah mereka yang memakai tudung, kata seorang saksi Reuters, sambil menambah bantahan itu berlaku tanpa sebarang insiden.
Para pelajar memberitahu Reuters bahawa mereka merancang untuk berkumpul semula pada Khamis.
“Kami akan terus membantah sehingga kerajaan berhenti menghina pelajar. Kami mahu hak asasi kami kembali…anda tidak boleh merampas hak kami,” kata salah seorang penunjuk perasaan dikenali sebagai Tasmeen Sultana.
Protes sama juga telah dirancang pada Rabu di ibu negara India, New Delhi.
Media tempatan minggu lalu melaporkan, beberapa sekolah di Karnataka menafikan kemasukan pelajar Islam yang memakai tudung memetik arahan Kementerian Pendidikan, menyebabkan bantahan daripada ibu bapa dan pelajar.
Pelajar Hindu melancarkan bantahan balas, berkumpul di sekolah dalam beberapa hari kebelakangan ini bagi menyokong larangan itu, memaksa kerajaan negeri Karnataka menutup sekolah dan kolej selama tiga hari untuk meredakan ketegangan antara kedua-dua komuniti itu.
Dalam satu insiden, video yang dikongsi secara meluas di atas talian menunjukkan seorang pelajar Islam berseorangan yang memakai tudung dikelilingi pemuda Hindu yang menjerit slogan agama ketika cuba memasuki sekolahnya di Karnataka.
Kerajaan Karnataka, di mana 12 peratus penduduk beragama Islam dan diperintah oleh parti nasionalis Hindu Bharatiya Janata Party (BJP) pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi telah memerintahkan agar pelajar mematuhi kod pakaian yang ditetapkan oleh sekolah.
Parti pembangkang dan pengkritik mendakwa kerajaan BJP di peringkat Persekutuan dan negeri mendiskriminasi penduduk minoriti Islam.
Modi mempertahankan rekodnya dan berkata, dasar ekonomi dan sosialnya memberi manfaat kepada semua rakyat India. – Agensi