Berita Utama

Pelaksanaan PdP hibrid dibenarkan tertakluk keputusan IPT

KPT pastikan kemasukan pelajar ke kampus pada Mac berjalan lancar

BANGI, 8 Rejab 1443H, Khamis – Institusi pengajian tinggi (IPT) diingatkan supaya mempunyai kapasiti untuk menampung bilangan pelajar yang hadir secara fizikal dan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang ketat bagi kemasukan ke kampus bermula Mac ini.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berkata, aspek keselamatan dan kesihatan pelajar adalah menjadi keutamaan kementerian dalam proses kemasukan serta keberadaan pelajar di kampus.

Oleh itu, pelaksanaan PdP secara hibrid atau secara dalam talian adalah dibenarkan tertakluk kepada keputusan pihak IPT sendiri.

“KPT akan memastikan kemasukan pelajar ke kampus sama ada tempatan atau antarabangsa bermula Mac 2022, berjalan lancar seperti yang telah diputuskan pada Mesyuarat Kuartet Menteri COVID-19 Ke-12 dan pengumuman oleh YB Menteri Kanan Pertahanan semalam.

“Keputusan ini dibuat bagi memberi fleksibiliti kepada IPT dalam menentukan mod pembelajaran yang bersesuaian kepada pelajar,” kata kementerian itu dalam kenyataan, hari ini.

KPT berkata, keputusan itu juga dapat memberi peluang kepada pelajar untuk mengenali dan menyesuaikan diri dengan sistem pembelajaran serta kehidupan dalam kampus.

“Pelajar yang pulang ke kampus juga diminta untuk terus mengamalkan penjarakan fizikal dan sentiasa mengamalkan kebersihan diri.

“Semua aktiviti sukan dan riadah perlu mematuhi SOP yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Katanya, pelajar dan ibu bapa boleh menghubungi Bilik Gerakan COVID-19 KPT di talian 03-88706777/6623/6949/6628, melayari laman web IPT atau terus menghubungi Pegawai Penyelaras di IPT masing-masing sekiranya terdapat pertanyaan mengenai perkara ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button