Berita Utama

PEMBELA gesa tangguh pindaan Akta 342

Minta jumlah penalti, kompaun dikurang pada kadar lebih wajar

BANGI, 8 Rejab 1443H, Khamis – Tidak mustahil pindaan Akta 342 akan menjadi cetusan kepada kebangkitan rakyat yang menolak kerajaan hari ini atas slogan ‘gagal’ dan ‘zalim’.

Ini kerana, jumlah penalti melalui cadangan pindaan Seksyen 24 terlalu besar, menekan rakyat dan sangat tidak munasabah.

Bahkan, hukuman 7 tahun penjara sama seperti Kanun Keseksaan di bawah Seksyen 325 yang mendatangkan kecederaan serius; Seksyen 363 kerana menculik; Seksyen 506 kerana ugutan jenayah; Seksyen 379 kerana menyamun dan Seksyen 393 kerana cuba mencuri.

Justeru, timbul persoalan sama ada dengan hanya sekadar tidak memenuhi prosedur operasi standard (SOP), hukuman yang dikenakan seakan sama seperti kes-kes jenayah berkenaan.

Atas sebab itu, Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) menggesa supaya jumlah penalti am dan kompaun ini dikurangkan kepada kadar yang lebih wajar.

Dalam hal ini, Pengerusi PEMBELA, Aminuddin Yahaya berkata, pihak berkepentingan (stakeholders) perlu dibawa kepada perbincangan.

“Kerajaan diingatkan agar tidak lupa pada pelbagai kesengsaraan yang dihadapi rakyat Malaysia ketika ini, terutamanya ketika kepincangan ekonomi negara dan kesempitan hidup rakyat sedang memuncak.

“Pindaan ini dilihat tidak mendatangkan kebaikan malah lebih menekan rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, Aminuddin Yahaya turut mendesak kerajaan menangguhkan cadangan pindaan Akta 342 sehingga perubahan dibuat bagi cadangan pindaan Seksyen 21A, 24 dan 25.

Sebaliknya, kerajaan digesa menggunakan sidang Parlimen akan datang untuk fokus menyelesaikan pelbagai isu rakyat yang saban hari bertambah tenat, katanya.

“Kerajaan perlu sedar bahawa kepercayaan rakyat terhadap kerajaan semakin terhakis akibat kegagalan dari pelbagai aspek, terutamanya dalam menguruskan prioriti,” kata Aminuddin.

Sebelum ini dilaporkan, Rang Undang-Undang Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 atau Akta 342 bagi bacaan kali kedua dan ketiga di Dewan Rakyat ditangguhkan ke sidang Parlimen akan datang.

Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, penangguhan yang dibuat itu juga wajar memandangkan isu berkenaan mempunyai pandangan yang berbeza-beza.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button