Berita Utama

PPR baharu lebih moden: PM

BNM digesa lihat kembali model pembiayaan perumahan, mudahkan pemilikan rumah

BANGI, 8 Rejab 1443H, Khamis – Pembinaan Program Perumahan Rakyat (PPR) baharu bakal mengambil kira keperluan semasa selain memasukkan komponen baharu dalam menjayakan agenda Malaysia Berdaya Huni atau Liveable Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pembinaan PPR baharu akan memasukkan elemen seperti keterhubungan dan akses internet seperti fibre to the home (FTTH), jaringan hubungan pengangkutan awam serta reka bentuk yang lebih ekonomik dan lebih selesa.

Beliau berkata, perkara itu antara yang dibincangkan Mesyuarat Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) dalam menetapkan hala tuju baharu PPR.

“MPMMN turut membincangkan strategi penyediaan dan pelaksanaan 500,000 unit rumah mampu milik di seluruh negara sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) melibatkan kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pemaju perumahan swasta,” katanya.

Ismail Sabri berkata, kerajan komited memastikan penyediaan rumah kediaman yang mencukupi, berkualiti dan mampu dimiliki bagi memenuhi keperluan penduduk yang semakin bertambah.

“Oleh itu, KPKT telah memperkenalkan Home Ownership Programme (Hope) bagi melihat ekosistem yang lebih menyeluruh dalam penyediaan perumahan, pembiayaan perumahan serta program-program yang dapat membantu Keluarga Malaysia dalam pemilikan perumahan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mesyuarat yang diadakan secara telesidang yang turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Gabenor Bank Negara, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, menteri-menteri besar dan ketua-ketua menteri serta menteri- menteri Kabinet.

Pada masa sama, Ismail Sabri menggesa Bank Negara (BNM) melihat kembali model pembiayaan perumahan supaya memudahkan pemilikan perumahan.

“Ini bagi memastikan institusi kewangan mempermudahkan pinjaman untuk B40 dan M40 membeli rumah PPR dan rumah mampu milik.

“Fokus diberi untuk pembelian terus dan rent to own (sewa untuk milik),” jelasnya.

Justeru, beliau meminta semua pihak untuk memainkan peranan supaya sasaran ‘Satu Keluarga,Satu Rumah’ dapat direalisasikan.

“Untuk mencapai matlamat ini, kerajaan Persekutuan akan memberi subsidi, kerajaan negeri menyediakan tanah manakala bank mempermudahkan pembiayaan bagi memastikan harga rumah PPR dan rumah mampu milik dapat dijual dengan harga yang berpatutan,” katanya.

Selain itu, katanya, kerajaan komited untuk menyediakan rumah mampu milik untuk generasi muda supaya mereka dapat memiliki kediaman sendiri.

“Mesyuarat turut memberi tumpuan kepada pembinaan rumah mampu milik di bandar kecil dan pinggir bandar untuk meningkatkan peluang golongan M40 membeli rumah,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button