Berita Utama

Segerakan subsidi, selamatkan penternak ayam daripada gulung tikar: FLFAM

Persatuan gesa kerajaan jelaskan mekanisme pemberian subsidi

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 8 Rejab 1443H, Khamis – Pemberian subsidi kerajaan seawal mungkin diyakini mampu menyelamatkan lebih ramai penternak ayam daripada mengalami kerugian sehingga terpaksa gulung tikar.

Demikian kata Penasihat Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM), Datuk Jeffrey Ng yang menjelaskan ramai penternak terkesan sehingga memaksa mereka berhutang untuk terus bertahan.

Katanya, penternak tidak akan mengalami kerugian besar sehingga terpaksa gulung tikar sekiranya kerajaan bertindak lebih awal.

“Kita yakin sekiranya kerajaan bertindak lebih awal, ia dapat menyelamatkan lebih ramai penternak-penternak ayam yang selama ini berjuang sendiri.

“Selama ini mereka berdepan masalah berikutan pulangan jualan di bawah modal, menanggung kos penternakan tinggi dan membebankan, tetapi tiada pilihan kerana harga siling ditetapkan pihak berwajib.

“Ada juga yang terpaksa berhutang dengan pembekal terutama ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Kabinet, semalam bersetuju memberi subsidi harga ayam dan telur ayam kepada penternak sepanjang tempoh pelaksanaan Skim Kawalan Harga Keluarga Malaysia (SKHKM).

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, penternak akan menerima subsidi 60 sen sekilogram bagi ayam hidup dan ayam bulat, dan 5 sen bagi sebiji telur ayam tanpa mengira kategori.

Jeffrey Ng menyambut baik pemberian subsidi itu, namun menggesa kerajaan memberikannya secepat mungkin dalam usaha menangani isu kenaikan harga bahan makanan itu di pasaran.

“FLFAM menyambut baik keprihatinan kerajaan yang bersetuju memberikan subsidi harga ayam dan telur ayam kepada penternak cuma masalahnya ialah bila subsidi itu akan diberikan?,” soalnya.

Beliau berkata, ramai yang masih menunggu mekanisme pemberian subsidi berkenaan.

“Sekiranya terpaksa tunggu terlalu lama subsidi yang dijanjikan, pengusaha industri ini akan lebih terkesan.

“Justeru, kami berharap kerajaan dapat segerakan pemberian subsidi ini,” katanya.

Pada masa sama, Jeffrey berkata, subsidi terbabit penting bagi membantu penternak menampung kos penternakan ayam termasuk pembelian dedak dan anak ayam.

Pautan terdahulu:
https://ismaweb.net/2022/02/07/kos-meningkat-25-peratus-penternak-ayam-selangor-gulung-tikar/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button