Berita UtamaDunia

Turki sedia sambung semula pengeluaran visa kepada penduduk Afghanistan

Ribuan rakyat larikan diri selepas Taliban ambil alih pentadbiran negara termasuk ke Turki

ANKARA, 8 Rejab 1443H, Khamis – Turki bersedia untuk menyambung semula pemberian visa kepada Afghanistan terutama penduduk di Kabul dan wilayah Balkh, utara negara itu, tidak lama lagi.

Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu menerusi kenyataan berkata, keputusan itu dibuat selepas mengadakan perbincangan dengan pemangku Menteri Luar Afghanistan, Amir Khan Motaqi.

“Kita telah mengadakan perbincangan melalui panggilan telefon dan membuat keputusan untuk menyambung semula pemberian visa kepada penduduk Afghanistan, tidak lama lagi.

“Keadaan tersebut bakal memberi banyak manfaat khususnya kepada penduduk di sana,” katanya.

Sejak Taliban mengambil alih pentadbiran Afghanistan pada Ogos tahun lalu, ribuan penduduk melarikan diri bagi mencari kehidupan sempurna termasuk melarikan diri ke Turki, Iran dan beberapa negara-negara berdekatan.

Turki sebelum ini mendakwa menerima lima juta pelarian ke negaranya dan merancang untuk menambah 64 kilometer tembok sempadan bagi mengelak negaranya dicerobohi.

Menerusi perbualan berkenaan, Mevlut turut memberitahu, Turki akan menghantar 500 hingga 700 tan bantuan kemanusiaan kepada Afghanistan.

Katanya, kesemua bantuan tersebut yang terdiri daripada bantuan makanan dan perubatan serta keperluan akan tiba ke negara itu hujung bulan ini.

Dua hari sebelum ini, Afghanistan menerima 750 tan bantuan makanan di wilayah Herat dari Turki khusus buat mereka yang berdepan ancaman penyakit, kesan kelaparan melampau dan krisis kemanusiaan yang dihadapi penduduk di negera berkenaan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button