Berita Utama

1,055 sekolah dikenal pasti jadi PPV PICKids

Ia akan beroperasi selewat-lewatnya Isnin depan

KUALA LUMPUR, 9 Rejab 1443H, Jumaat – Sebanyak 1,055 buah sekolah telah dikenal pasti untuk dijadikan sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) yang akan beroperasi selewat-lewatnya Isnin ini (14 Februari).

Timbalan Menteri Kesihatan I Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata bagaimana pun jumlah PPV sekolah dijangka bertambah dari semasa ke semasa.

“Kesemua sekolah ini akan menjadi pusat pemberian vaksin kepada murid di sekolah tersebut dan murid daripada sekolah-sekolah berdekatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (CITF-C) berkata bagi pemberian vaksin di sekolah, senarai nama kanak-kanak yang layak akan disediakan pihak sekolah dan akan dilaksanakan pasukan kesihatan sekolah atau pengamal perubatan swasta.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan ibu bapa atau penjaga untuk mendaftar tanggungan mereka menerusi akaun MySejahtera bagi mendapatkan janji temu vaksin dan sijil digital vaksinasi manakala mereka yang tidak mempunyai kemudahan itu, tarikh dan lokasi janji temu akan dimaklumkan pihak pengurusan sekolah.

Beliau berkata Kementerian Pendidikan (KPM) juga telah bersetuju membantu mengatur janji temu secara berkelompok untuk vaksinasi di sekolah atau di pusat vaksinasi yang telah dikenal pasti Pejabat Kesihatan Daerah dan Pejabat Pendidikan Daerah bagi melancarkan pelaksanaan vaksinasi COVID-19.

Sebagai langkah mengelakkan kesesakan di PPV, Dr Noor Azmi berkata hanya salah seorang sama ada ibu atau bapa atau penjaga yang dibenarkan menemani kanak-kanak untuk tujuan vaksinasi selain ibu bapa dinasihatkan untuk memastikan anak yang akan divaksin mendapat rehat secukupnya serta mengambil sarapan dan meminum air secukupnya sebelum hadir ke PPV.

“Ibu bapa perlu mengawasi kanak-kanak supaya tidak melakukan aktiviti lasak bagi tempoh tujuh hari selepas menerima vaksin,” katanya.

PICKids telah dimulakan pada 3 Feb lepas dengan menyasarkan seramai 3.6 juta golongan kanak-kanak berusia lima hingga bawah 11 tahun. bagi melindungi kanak-kanak daripada jangkitan teruk COVID-19.

Selain itu, ia juga bertujuan untuk memastikan risiko jangkitan di sekolah dapat dikurangkan sekali gus mencegah kluster dalam kalangan warga sekolah.

Setakat semalam, sebanyak 79,393 atau 2.2 peratus populasi kanak-kanak berusia antara lima hingga 11 tahun di negara ini telah menerima dos pertama vaksin COVID-19. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button