Berita Utama

5 pegawai MARA beri keterangan kepada SPRM

Berkait isu integriti dan salah guna kuasa MARA Corp

PUTRAJAYA, 9 Rejab 1443H, Jumaat – Lima pegawai Majlis Amanah Rakyat (MARA) hari ini hadir memberi keterangan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini bagi membantu siasatan berkaitan isu integriti dan salah guna kuasa membabitkan anak syarikat agensi itu, MARA Corporation (MARA Corp).

Mereka, yang merupakan antara 17 individu dikenal pasti bagi membantu siasatan kes itu, tiba di ibu pejabat SPRM pada kira-kira 3 petang secara berasingan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, ketika dihubungi, mengesahkan perkara itu.

“(Mereka) akan dilepaskan setelah tamat percakapan. Mereka dipanggil untuk dirakam keterangan,” katanya.

Pada Sabtu lepas, SPRM dilapor telah menerima laporan berhubung isu integriti melibatkan beberapa pegawai kanan MARA yang sedang disiasat secara dalaman oleh agensi itu.

Pada Ahad lepas pula, lima individu yang dikaitkan dengan dakwaan salah laku telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bagi menafikan pembabitan mereka.

SPRM menyerbu ibu pejabat MARA, MARA Corp dan sebuah syarikat setiausaha korporat pada Isnin lepas dan antara yang dirampas ialah kertas cadangan serta minit mesyuarat lembaga pengarah, dokumen kewangan dan senarai gaji serta dokumen membabitkan sumber manusia. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button