Berita UtamaDunia

Didakwa hilang, PBB bimbang keselamatan aktivis wanita Afghanistan

Pemimpin Taliban didakwa masih kekal dasar berat sebelah pada wanita

WASHINGTON, 9 Rejab 1443H, Jumaat – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres bimbang terhadap keselamatan beberapa aktivis wanita di Afghanistan yang didakwa hilang sejak kebelakangan ini.

Justeru, Guterres menggesa Taliban – pemerintah Afghanistan – untuk memastikan keselamatan aktivis wanita berkenaan.

“Saya semakin bimbang dengan keselamatan aktivis wanita di Afghanistan, beberapa daripada mereka dilaporkan hilang sejak kebelakangan ini,” katanya.

Kumpulan hak asasi PBB di Geneva minggu ini turut melahirkan kebimbangan terhadap empat aktivis wanita dan beberapa ahli keluarga mereka yang lain, dipercayai ditahan atau diculik selepas menyertai beberapa siri bantahan yang dilakukan kumpulan aktivis berkenaan.

Beberapa aktivis iaitu Parwana Ibrahim Khil dan Tamana Paryani ditahan selepas terbabit dalam tunjuk perasaan di Kabul pada 16 Januari lalu.

Mursal Ayar dan Dr Zahra Mohammadi juga turut menjadi mangsa tahanan pada awal Februari lalu.

Selepas ditahan, Tamana Paryani berkongsi ugutan yang diterima daripada Taliban menerusi media sosial.

Sejak Taliban mengambil alih pentadbiran, kumpulan aktivis wanita sering mengadakan bantahan menyuarakan ketidakpuasan hati di bandar-bandar, termasuk di Kabul.

Kesemua aktivis berkenaan menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap hak asasi mereka, sekatan ke atas hak wanita, penutupan sekolah dan kekurangan peluang kerja untuk golongan wanita.

Keadaan tersebut menyebabkan mereka diancam dan diugut oleh tentera Taliban.

Taliban ketika memerintah Afghanistan pada tahun 1996 hingga 2001 – terkenal dengan penyalahgunaan hak selain mengamalkan dasar berat sebelah terhadap golongan wanita.

Walaupun berjanji untuk mengenakan peraturan yang lebih sempurna selepas mengambil alih pentadbiran pada Ogos tahun lalu, pemimpin Taliban didakwa masih kekal dengan dasar berat sebelah itu.

Malah, hak golongan wanita masih disekat termasuk mengasingkan tempat kerja wanita serta menghalang pelajar perempuan bersekolah.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button