Berita Utama

Hanya bawa kad pengenalan untuk ambil bayaran kerugian

Kerajaan tanggung 50 hingga 60 peratus kerugian jemaah umrah

KUALA TERENGGANU, 9 Rejab 1443H, Jumaat – Jemaah umrah yang bakal menerima pembayaran daripada kerajaan ekoran menanggung kerugian sepanjang penangguhan sementara ibadah tersebut selama sebulan bermula 8 Januari lepas, hanya perlu membawa kad pengenalan masing-masing ke mana-mana cawangan Lembaga Tabung Haji (TH) kelak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, mereka tidak perlu melakukan sebarang pendaftaran memandangkan senarai nama akan diberikan oleh agensi pelancongan yang mengendalikan umrah mereka.

“Kita akan ambil nama (jemaah umrah yang terlibat) daripada agensi pelancongan, nama-nama ini kita akan pastikan ‘clear’, betul ada akaun dia, maka kita suruh ahli jemaah pergi ambil (bayaran) di Tabung Haji.

“Tidak perlu daftar. Bawa kad pengenalan sahaja. Apabila senarai nama diberi kepada MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya), jadi MOTAC akan beri kepada Tabung Haji,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Bantuan Perniagaan Program Inspirasiku MyHAUS di Kampung Raja Barang dekat Chendering, di sini hari ini.

Baru-baru ini, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, kerajaan akan membayar 50 hingga 60 peratus kerugian yang dialami oleh jemaah umrah sepanjang penangguhan sementara ibadah tersebut selama sebulan bermula 8 Januari.

Ahmad Marzuk berkata, TH dan MOTAC telah melakukan tapisan senarai jemaah yang menanggung kerugian, bagaimanapun proses berkenaan masih dalam penelitian di peringkat akhir dan ia dijangka dapat diselesaikan pada pertengahan bulan ini.

Terdahulu, Idris menyampaikan replika cek bantuan perniagaan sebanyak RM5,000 kepada seorang asnaf yang menjalankan perniagaan kuih dan roti, Mohd Khaizuan Oslan Affandi, 34.

Secara keseluruhannya, Program Inspirasiku MyHAUS yang dilaksanakan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) telah memberi bantuan bernilai RM50,000 kepada Mohd Khaizuan meliputi bantuan baik pulih tempat tinggal, bantuan kelestarian perniagaan dan bantuan pendidikan anak-anak.

Mohd Khaizuan yang juga bapa kepada empat anak itu sebelum ini turut menerima bantuan peralatan perniagaan seperti peti penyimpanan roti dan mesin membuat roti serta diberi bimbingan untuk menguruskan perniagaannya.-  Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button