Berita Utama

Ibu bapa perlu risau pada jangkitan COVID-19 bukan vaksin

Saran faham maklumat kandungan vaksin, kesan sampingan di MySejahtera

KUALA LUMPUR, 9 Rejab 1443H, Jumaat– Sejak pelaksanaannya pada 3 Februari lepas, program pemvaksinan COVID-19 untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun atau PICKids, dilihat masih “bertatih” dengan kebanyakan ibu bapa mengambil sikap tunggu dan lihat sebelum mendaftarkan anak mereka di bawah program itu.

Menjengah ke laman sosial khususnya Facebook rasmi Kementerian Kesihatan (KKM), rata-rata ibu bapa yang meninggalkan komen memberi alasan tidak mahu anak mereka diperlakukan seperti  “tikus makmal” selain berpandangan si anak masih terlalu kecil untuk menerima vaksin ‘sekuat’ itu.

Sikap sedemikian boleh menjejaskan matlamat kerajaan untuk memastikan 80 peratus daripada kanak-kanak yang disasarkan menerima dos pertama dalam tempoh setahun dan 60 peratus lengkap dua dos dalam tempoh enam bulan. 

Mengulas permasalahan itu, kebanyakan pakar kesihatan berpendapat ibu bapa yang berkenaan menyempitkan tumpuan mereka kepada vaksin dan gagal melihat keseluruhan isu jangkitan SARS-CoV-2 yang boleh menyebabkan kemasukan ke hospital dan kematian akibat COVID-19.

Perjudi nyawa anak

Bercakap kepada Bernama, Pakar Perunding Klinikal Imunologi Klinikal dan Alergi Pediatrik di Jabatan Pediatrik, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Intan Hakimah Ismail berkata, fahaman ibu bapa bahawa antibodi anak sekecil itu masih kuat sebenarnya mengundang risiko si anak mendapat jangkitan COVID-19 yang serius berbanding kesan advers vaksinasi.  

“Berdasarkan data sejarah vaksin  sedia ada, kebanyakan kesan buruk vaksin berlaku dalam tempoh enam minggu pertama selepas suntikan dan kesan jangka panjang yang negatif selalunya tiada.

“Dua dos  vaksin COVID-19 lengkap boleh menjana tindak balas imun yang kuat kepada kumpulan kanak-kanak terbabit dan mampu mencegah kemasukan ke hospital dan kematian akibat COVID-19,” jelasnya.

Malah kata beliau, pengambilan vaksin juga akan melindungi kanak-kanak daripada sindrom multisistem radang pada kanak-kanak atau MIS-C, iaitu komplikasi COVID-19.

MIS-C ini jarang berlaku, namun jika berlaku ia membawa akibat yang sangat serius dan boleh membawa kematian, jelas Dr Intan Hakimah.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin sebelum ini dilaporkan berkata sejak Januari lepas, terdapat 9,413 kes COVID-19 membabitkan kanak-kanak berumur tujuh hingga 12 tahun direkodkan di negara ini.

“Walaupun jumlah ini tidak banyak berbanding orang dewasa, kanak-kanak yang dijangkiti berisiko mendapat MIS-C serta Long COVID yang kita tidak tahu kesan sebenar,” kata Khairy yang dipetik oleh laporan media itu.

Utamakan kerisauan jangkitan virus 

Sementara itu, pakar virologi Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Nazlina Ibrahim berkata, ibu bapa sebenarnya tidak mempunyai alasan untuk bimbang tentang keselamatan vaksin tersebut yang telah melepasi fasa ujian.

Katanya, kesan yang berlaku selepas pengambilan vaksin adalah perkara normal yang secara tidak langsung menunjukkan tubuh penerima memberi tindak balas terhadap vaksin.

“Apa yang perlu dirisaukan adalah kesan teruk apabila berlaku jangkitan (COVID-19) yang sebenar kerana apabila keadaan itu berlaku ia lebih sukar ditangani.

“Dua dos vaksin ini cukup untuk kurangkan risiko kanak-kanak (dijangkiti COVID-19) dan respons imun ini juga boleh menangani varian Omicron  yang sekali gus mengurangkan kadar kebolehjangkitan virus COVID-19 kepada kanak-kanak,’’ katanya yang menyarankan pihak berwajib memberi pencerahan sebaik mungkin bagi menangani kekhuatiran ibu bapa tentang vaksin.

Beliau turut menyarankan ibu bapa yang masih berbolak-balik tentang pemvaksinan anak mereka agar memahami maklumat kandungan vaksin serta kesan sampingan yang mungkin terjadi dalam aplikasi MySejahtera.

Menerusi PICKids, kanak-kanak akan diberikan dua dos vaksin Cominarty 10mcg Concentrate for Dispersion for Injection keluaran Pfizer-BioNTech dengan dos kedua diberikan selepas lapan minggu disuntik dos pertama. 

Comirnaty selamat untuk kanak-kanak

Sementara itu, Dr Adli Ali pula berkata, vaksin keluaran Pfizer-BioNTech itu selamat dan berkesan untuk kanak-kanak.

Menurut Pensyarah Kanan Klinikal dan Pakar Perunding Imunologi Kanak-Kanak Hospital Canselor Tuanku Muhriz itu, laporan The New England Journal of Medicine menerusi artikel bertajuk ‘Evaluation of the ‘BNT162b2 COVID-19 Vaccine in Children 5 to 11 years of Age’  menunjukkan  vaksin tersebut berupaya menghasilkan imuniti yang mencukupi bagi melawan jangkitan SARS-CoV-2.

“Kajian ini menunjukkan vaksin Pfizer 10 mcg yang diberikan dengan jarak 21 hari di antara dua dos adalah selamat.

“Pemberian vaksin ini juga berfungsi secara serampang tiga mata, iaitu selain mencegah daripada mendapat jangkitan (COVID-19), individu yang mendapat jangkitan juga hanya mengalami gejala ringan dan secara tidak langsung mengurangkan kadar jangkitan kepada individu lain,” katanya

Vaksin adalah ikhtiar 

Sementara itu, Balkish Awang, 40, berpandangan pengambilan vaksin tersebut adalah ikhtiar untuk melindungi anaknya daripada virus maut berkenaan.

“Memang ada kerisauan namun bagi saya ini adalah ikhtiar untuk melindungi mereka,” katanya, menambah dua anaknya yang berusia 11 dan sembilan tahun telah menerima dos pertama masing-masing pada 5 Februari lepas.

Menurut ibu kepada empat cahaya mata itu, kedua-dua anaknya juga tidak menunjukkan kesan sampingan yang teruk.

Sementara itu, bagi penerima cilik Haziq Danial Shahrul Azlan, 11, dia kini berasa lebih selamat untuk ke sekolah dan juga bermain dengan rakan.

“Walaupun ada rakan yang belum daftar (untuk ambil vaksin), saya tidak takut untuk disuntik vaksin. Malah tak sakit pun ketika disuntik,” katanya, menambah dia juga tidak mengalami demam dan lain-lain kesan sampingan.

Haziq Danial dan adiknya Rania Zara, sembilan, menerima dos pertama masing-masing di Dewan Orang Ramai Ampang Mewah pada 5 Februari lepas.

Setakat 9 Februari lalu, seramai 62,809 orang atau 1.7 peratus daripada kanak-kanak yang layak telah menerima dos pertama mereka, sementara pendaftaran pula mencecah 670,000 orang.

Dalam pada itu, sekalipun kerajaan memberikan komitmen yang tinggi untuk melindungi rakyat pelbagai peringkat usia daripada dijangkiti COVID-19, pelaksanaan PICKids adalah secara sukarela dan tidak ada sekatan akan dikenakan terhadap kanak-kanak yang tidak menyertai program pemvaksinan tersebut.-  Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button