Berita Utama

Kurang separuh orang Melayu ambil suntikan penggalak

Johor yang bakal adakan PRN hanya catat 57 peratus penduduk terima ‘booster’

KUALA LUMPUR, 9 Rejab 1443H, Jumaat – Kurang separuh daripada penduduk Melayu di negara ini telah mengambil suntikan penggalak COVID-19, kata Khairy Jamaluddin.

Menteri Kesihatan dalam ciapan di laman Twitter berkata, hanya 47.9 peratus orang Melayu di seluruh negara telah mengambil dos ketiga vaksin COVID-19 setakat 10 Februari.

Secara perbandingan, carta yang disiarkan menunjukkan 81.3 peratus orang Cina dan 56.4 peratus orang India telah mengambil suntikan penggalak, diikuti oleh 50.6 peratus yang lain serta 49.6 peratus daripada kumpulan Orang Asli dan Bumiputera lain.

“Pengeluaran harian dos penggalak telah meningkat. Tetapi kita memerlukan komunikasi yang lebih mantap di Facebook kerana orang Melayu masih di bawah 50 peratus,” katanya.

Pada masa sama, Khairy turut mengucapkan tahniah kepada Sarawak kerana menjadi negeri terbaik dengan 80 peratus orang Melayu diberi vaksin, diikuti Cina (85.6 peratus), India (79.1 peratus), Orang Asli dan kumpulan Bumiputera lain (76.5 peratus) dan lain-lain (47.5 peratus).

Beliau turut berkongsi pecahan data di negeri-negeri di mana pengambilan dos penggalak dalam kalangan orang Melayu melebihi 50 peratus adalah di Sarawak (80 peratus), Melaka (64.6 peratus), Labuan (62.3 peratus), Lembah Klang (59.5 peratus), dan Negeri Sembilan (55.7 peratus).

Negeri-negeri yang mempunyai pengambilan suntikan penggalak terendah secara keseluruhan ialah Sabah (24.8 peratus), diikuti oleh Kelantan (25.3 peratus) dan Perlis (30.9 peratus).

Sementara Johor yang bakal mengadakan pilihan raya negeri hanya mencatatkan peratusan suntikan penggalak sebanyak 57 peratus.

Malaysia menggesa orang dewasa untuk mendapatkan suntikan penggalak dalam usaha mengurangkan kesan varian Omicron COVID-19.

Kajian menunjukkan bahawa dos ketiga menawarkan perlindungan yang lebih baik terhadap Omicron.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button