Berita Utama

Maklumat tidak tepat punca ramai ragui dos penggalak

Keberkesanan vaksin perlu disampai dengan jelas, mudah difahami

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 9 Rejab 1443H, Jumaat – Keberkesanan dos penggalak vaksin COVID-19 perlu disampaikan dengan jelas kepada orang ramai khususnya golongan yang berisiko.

Bahkan, penyampaian maklumat mengenai dos penggalak juga perlu dibuat dalam bentuk mudah difahami oleh semua lapisan masyarakat, terutama warga emas.

Pakar Kesihatan Awam (Epidemiologi dan Biostatistik) Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Malina Osman berkata, penerangan yang jelas dan mudah perlu diberikan supaya pengguna memahami situasi sebenar dan yakin dengan pengambilan dos penggalak.

Beliau berkata, langkah itu perlu dibuat memandangkan terlalu banyak maklumat tidak tepat mengenai pengambilan dos penggalak sehingga menimbulkan kebimbangan dalam masyarakat.

“Namun perkara itu perlu diperjelas sebaik mungkin bagi membuang rasa tidak selesa tersebut selain perlu dijelaskan kepada mereka keperluan utama kenapa mereka perlu mengambil dos penggalak, selain kesan kepada kesihatan diri daripada pengambilan dos berkenaan.

“Kadang-kadang bukan vaksin menjadi penyebab kepada komplikasi kesihatan, tetapi kemungkinan penerimanya mempunyai penyakit lain namun tidak membuat pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu sebelum mengambil vaksin,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Dr Malina berkata, pengambilan vaksin adalah usaha untuk mengelakkan individu terutama golongan berisiko seperti warga emas, terdedah kepada jangkitan semula jadi.

“Keadaan ini sekiranya dibiarkan kita risau akan menjangkiti individu lain dengan lebih mudah dan kesannya lebih kritikal memandangkan mereka adalah golongan berisiko.

“Usaha memberikan vaksinasi bukan sahaja berperanan mencegah komplikasi semata-mata, tetapi juga untuk mencegah daripada penularan tersebut berterusan,” katanya.

Pada masa sama, beliau menggesa golongan muda terutama anak-anak untuk menjadi ejen penyampai maklumat tepat kepada ibu bapa atau masyarakat sekeliling supaya lebih yakin mendapatkan dos penggalak, ketika negara berdepan gelombang Omicron.

“Sebagai anggota keluarga, menjadi tanggungjawab kepada generasi muda khususnya anak-anak untuk menyampaikan maklumat yang tepat kepada ibu bapa dengan menerangkan kebaikan mengambil dos penggalak,” katanya.

Namun, Dr Malina tidak menafikan penerangan dan penjelasan secara umum daripada pihak berkuasa serta media perlu dilipatgandakan bagi menarik golongan berkenaan mengambil dos penggalak.

Ditanya mengenai peningkatan kes positif yang semakin melonjak ketika ini, beliau berkata, lonjakan kes jangkitan mampu dilandaikan segera sekiranya peratusan rakyat melengkapkan vaksinasi termasuk dos penggalak ditingkatkan.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan terdapat kira-kira 3.5 juta penerima vaksin Sinovac dan golongan warga emas berusia 60 tahun dan ke atas masih belum menerima suntikan dos penggalak.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button