Berita Utama

MUIP peruntuk RM65,000 lupus al-Quran rosak akibat banjir

Lebih 30 tan al-Quran rosak dikumpul untuk pelupusan berperingkat

BANGI, 9 Rejab 1443H, Jumaat – Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) memperuntukkan RM65,000 bagi proses melupuskan al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat suci yang rosak akibat banjir pada Disember lalu.

Peruntukan itu akan digunakan bagi melancarkan proses pelupusan lebih 26 tan bahan bacaan di enam daerah di Pahang.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, bantuan itu diberikan kepada Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Bentong, Temerloh, Kuantan, Lipis, Raub dan Rompin.

“Bantuan yang disediakan itu bagi meringankan beban Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) yang terpaksa menanggung perbelanjaan mengumpul seterusnya proses melupuskan bahan bacaan terbabit yang rosak.

“JAIP telah mengumpul lebih 30 tan al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat suci itu yang rosak akibat banjir akhir tahun lalu dan proses pelupusan kini dilakukan secara berperingkat,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini, JAIP hanya mempunyai satu pusat pelupusan atau pembakaran yang terletak di Pekan dan hanya mampu melupuskan kira-kira 100 kilogram.

Malah, katanya, pusat pelupusan swasta terletak di Kampung Temin, Jerantut turut digunakan, namun JAIP perlu membayar dengan kadar ditetapkan mengikut berat bahan berkenaan.

Pada masa sama, MUIP bercadang menyediakan peruntukan khas bagi memberi peluang kepada JAIP membina lebih banyak pusat pelupusan al-Quran yang rosak, dan mampu melupuskan 100 kilogram hingga 200 kilogram dalam satu masa mengikut zon yang boleh digunakan dua atau tiga daerah.

Katanya, pusat pelupusan berkenaan kini menjadi keperluan kerana ia turut melupuskan al-Quran yang rosak disebabkan sudah terlalu lama, koyak, dimakan anai-anai dan faktor kesalahan cetakan.

“Saya difahamkan pusat pelupusan JAIP di Pekan sudah berusia tujuh tahun dan sebelum ini turut menerima buku teks pengajian Islam digunakan di sekolah, selain bahan bercetak mengandungi ayat al-Quran yang rosak,” katanya.

Beliau berkata, abu-abu al-Quran berkenaan dan bahan bercetak mengandungi ayat al Quran dijadikan bongkah seberat lima kilogram setiap satu, akan simpan dalam beg plastik sebelum proses melupuskan di laut dilakukan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button