Berita Utama

PAS gugurkan Khairuddin dari Majlis Syura Ulama

Pengguguran kuat kuasa semalam dibuat susulan isu disiplin

BANGI, 9 Rejab 1443H, JumaatSelepas kira-kira sebulan disingkirkan sebagai Ahli Jawatankuasa PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali kini digugurkan pula daripada Majlis Syura Ulama berkuat kuasa semalam.

Pengguguran Mohd Khairuddin itu disahkan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang hari ini, yang sekali gus menyaksikan beliau kini hanya ahli biasa tanpa sebarang jawatan tertinggi dalam parti.

Abdul Hadi berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat PAS Pusat susulan isu-isu disiplin membabitkan pemimpin berkenaan.

“Oleh kerana pelantikannya dalam Majlis Syura Ulama adalah oleh Jawatankuasa PAS Pusat, maka kita membatalkan pelantikan itu.

“Dia bukan lagi ahli majlis kerana untuk menjadi ahli perlu mempunyai jawatan,” katanya seperti dilapor media tempatan, hari ini.

Terdahulu, Mohd Khairuddin dalam laman Facebook malam tadi turut memberi bayangan mengenai penggugurannya itu menerusi enam hantaran berturut-turut berhubung soal musibah.

“Jangan dimalukan seseorang secara berulang, sekali mungkin dia berdiam dan bersabar tetapi tidak selamanya akan berdiam diri apabila maruah dicemari dan diceroboh secara berulang. Setiap perkara ada batasannya, jangan melampaui kerana akibatnya sangat buruk,” katanya.

Pada 12 Januari lalu, Abdul Hadi memaklumkan pengguguran Mohd Khairuddin yang juga bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi daripada Ahli Jawatankuasa PAS.

Pada Muktamar PAS ke-67 November tahun lalu, Mohd Khairuddin antara tiga pemimpin tertinggi parti yang dilantik semula menduduki ahli jawatankuasa bagi sesi 2021-2023 selepas tewas pada pemilihan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button