Berita Utama

Pengkhianat sebenar UMNO adalah Najib, dakwa Muhyiddin

Najib sendiri biarkan kes 1MDB jadi terlalu besar sehingga rakyat benci UMNO

KUALA LUMPUR, 9 Rejab 1443H, Jumaat – Datuk Seri Najib Tun Razak adalah pengkhianat UMNO yang sebenar, demikian kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menjelaskan dakwaan itu, Muhyiddin berkata, Najib sendiri yang membiarkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menjadi terlalu besar dan buruk sehingga majoriti rakyat membenci UMNO.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, dakwaan sesetengah pihak bahawa beliau mengkhianati UMNO telah mengalihkan perhatian kepada isu besar sebenar melibatkan Najib.

“Ada pemimpin UMNO menghasut orang Melayu supaya percaya saya pengkhianat. Kononnya sayalah yang menyebabkan kerugian kepada orang Melayu apabila menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan bekerjasama dengan PKR serta DAP menjatuhkan UMNO.

“Mereka cuba menutup hakikat sebenar bahawa UMNO dikhianati oleh bekas Presiden UMNO sendiri, iaitu Najib,” kata Muhyiddin dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata, beliau rela digelar pengkhianat kerana mendedahkan skandal 1MDB dan menubuhkan Bersatu untuk menentang kumpulan kleptokrat dalam UMNO.

“Kini terbukti perjuangan saya adalah benar. Mahkamah telah menjatuhkan hukuman bersalah ke atas Najib atas kesalahan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC International yang ada hubung kait dengan 1MDB.

“Jelas skandal 1MDB bukan satu fitnah. Bukan satu rekaan. Kerajaan Perikatan Nasional di bawah pimpinan saya telah mengutip semula lebih RM16 bilion wang dan aset berkaitan syarikat 1MDB yang telah diseleweng.

“Kes 1MDB masih dibicarakan di negara kita. Keputusan Mahkamah Rayuan berhubung kes SRC International juga sedang dirayu di peringkat Mahkamah Persekutuan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button