Berita Utama

Langkah jadikan sekolah sebagai PPV percepat vaksinasi kanak-kanak

Usaha itu juga dapat tingkatkan keyakinan ibu bapa

KUALA LUMPUR, 10 Rejab 1443H, Sabtu – Langkah kerajaan menjadikan sekolah sebagai pusat pemberian vaksin (PPV) bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) mampu mempercepat proses vaksinasi murid sekali gus melindungi mereka daripada jangkitan COVID-19.

Exco Pendidikan dan Teknologi Negeri Melaka Datuk Rais Yasin berkata usaha itu juga dapat meningkatkan keyakinan ibu bapa sekali gus memastikan sebanyak 44,800 pelajar di bawah Jabatan Pendidikan Negeri dapat divaksin dalam tempoh yang singkat.

Beliau berkata dalam memastikan keseluruhan 98,600 kanak-kanak berumur lingkungan 5 hingga 11 tahun di negeri itu menerima vaksin, kerjasama semua pihak termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) amat penting.

“Oleh itu, saya amat sokong kalau buat di sekolah. Dengan pematuhan segala prosedur operasi standard (SOP), kerjasama antara Jabatan Kesihatan dan Jabatan Pendidikan Negeri, saya yakin ibu bapa akan lebih yakin.

“Saya juga optimis 80 peratus pemberian vaksin kepada semua kanak-kanak di negeri ini dapat diberikan dalam masa terdekat dengan pelaksanaan PICKids di sekolah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Digital Mahir Tutor di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Haji Abd Malek hari ini.

Semalam, Timbalan Menteri Kesihatan I Datuk Dr Noor Azmi Ghazali mengumumkan sebanyak 1,055 sekolah telah dikenal pasti untuk dijadikan PPV bagi program itu yang beroperasi selewat-lewatnya Isnin depan.

Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan Pulau Pinang Dr Norlela Ariffin pula berkata kerajaan negeri serta Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) berdepan cabaran meyakinkan ibu bapa untuk membenarkan anak mereka menerima suntikan vaksin COVID-19.

Beliau berkata justeru, pihaknya akan mengadakan sesi libat urus secara dalam talian bersama dengan pentadbir kesihatan, Jabatan Pendidikan Negeri, JKNPP dan 200 PIBG sekolah rendah di seluruh negeri pada 3 petang 18 Februari ini untuk meningkatkan keyakinan ibu bapa mengenai vaksinasi itu.

Katanya setakat semalam, sebanyak 530 kanak-kanak berumur lingkungan 5 hingga 11 tahun di negeri itu telah menerima vaksin COVID-19 manakala 40,000 daripada 160,000 kanak-kanak dalam usia sama didaftarkan untuk PICKids di Pulau Pinang yang bermula Isnin lepas.

Selain itu, sebanyak 97,975 atau 2.7 peratus populasi kanak-kanak berumur lingkungan 5 hingga 11 tahun di Malaysia telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 melalui PICKids yang dilancarkan pada 3 Februari lepas dengan kerajaan menetapkan sela masa selama lapan minggu antara dos pertama dan kedua.

Kementerian Kesihatan menyasarkan 70 peratus kanak-kanak yang layak akan mendapat dos pertama dalam tempoh dua bulan ini dan lengkap dua dos dalam tempoh enam bulan menerusi pelaksanaan PICKids. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button