Berita Utama

PAS nafi khabar angin tidak puas hati pembahagian kerusi PRN Johor

Rundingan berjalan lancar dan jumlah sebenar belum ditentukan

JOHOR BAHRU, 10 Rejab 1443H, Sabtu – PAS menafikan khabar angin bahawa parti itu tidak berpuas hati dengan pembahagian kerusi dalam kalangan parti komponen Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac depan.

Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menjelaskan, rundingan pengagihan kerusi masih berjalan dan jumlah sebenar kerusi yang akan ditandingi parti-parti komponen PN ketika ini belum ditentukan.

“Tidak (wujud isu ketidakpuasan hati), rundingan kerusi tidak selesai lagi… begitu juga calon, dapat kerusi baharu kita sedia calon.

“Parti-parti yang berkolaborasi dalam PN sedang berunding, agihan kerusi berdasarkan kriteria contohnya kekuatan jentera sesuatu parti di tempat itu, penerimaan pengundi pada calon yang akan dikemukakan, benda-benda itu sedang dipertimbangkan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Sarapan Silaturahim Jentera Pilihan Raya PN Parlimen Pulai, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai khabar angin PAS tidak berpuas hati dengan jumlah kerusi yang diberikan pada PRN Johor.

Menteri Besar Kedah itu berkata, calon PAS yang akan bertanding pada PRN Johor adalah terdiri daripada golongan profesional dan orang muda.

Manakala jentera PAS seluruh negara bersedia membantu dalam PRN Johor, namun jumlahnya belum dipastikan kerana bergantung kepada prosedur operasi standard (SOP).

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu berkata, PAS mengharapkan agar kerjasama dalam PN akan membawa kejayaan pada PRN Johor dan meminta rakyat Johor untuk bersama PN membuat pilihan baharu bagi membentuk kerajaan lebih stabil.

“Saya rasa dalam PN, kestabilan dan keharmonian dapat dipupuk dengan lebih baik seperti yang berlaku di negeri lain,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button