Berita UtamaDunia

Amerika Syarikat didakwa curi aset beku Afghanistan

Separuh dari AS$7 bilion diguna untuk bayar pampasan keluarga mangsa serangan 9/11

KABUL, 10 Rejab 1443H, Sabtu – Kerajaan Taliban di Afghanistan mendakwa, Amerika Syarikat (AS) mencuri serta menggunakan asetnya yang dibekukan untuk membayar pampasan kepada pihak yang menuntut dalam serangan 11 September 2001.

White House pada hari Jumaat lalu mengumumkan bahawa pentadbiran Presiden, Joe Biden merancang untuk menyekat separuh daripada AS$7 bilion dana Afghanistan yang dibekukan di bank AS untuk diagihkan kepada keluarga mangsa serangan 9/11 di negara itu.

Washington juga mendakwa, bahawa separuh lagi akan diperuntukkan untuk bantuan kemanusiaan kepada rakyat Afghanistan yang mengalami situasi teruk berikutan Taliban mengambil alih kuasa pada Ogos 2021.

Menyelar tindakan itu, wakil yang dilantik Taliban ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Suhail Shaheen menggesa, agar jumlah keseluruhan aset tidak dibekukan dan disimpan di bawah kawalan Bank Pusat Afghanistan.

“Rizab itu adalah hak milik Bank Afghanistan dan hak milik rakyat Afghanistan. Kami mahukan jumlah keseluruhan yang tidak dibekukan sebagai rizab Bank Afghanistan,” kata Shaheen.

Jurucakap pejabat Taliban di Doha juga mengecam tindakan AS dalam satu ciapan di laman Twitter dengan berkata: “Mencuri dan mengambil alih wang beku milik rakyat Afghanistan oleh AS menunjukkan tahap terendah manusia dan kemerosotan moral sesebuah negara dan bangsa.”

Pentadbiran Biden telah membekukan aset milik Bank Pusat Afghanistan sejak penarikan pasukan pendudukannya dari negara ini pada Ogos 2021. 

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia sejak itu menggantung aktiviti di negara yang dilanda perang itu.

Kebanyakan sekutu AS dan kerajaan Barat juga telah menggantung sebahagian besar bantuan kewangan mereka kepada Afghanistan sejak pengunduran tentera dan pengambilalihan Taliban.

Agensi bantuan dan PBB menganggarkan lebih separuh daripada 38 juta penduduk Afghanistan dijangka menghadapi kelaparan pada musim sejuk ini. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button