Kabinet belum bincang cadangan MPN buka sempadan negara 1 Mac
KKM akan teliti secara terperinci dan cadang langkah seterusnya

TANGKAK, 10 Rejab 1443H, Sabtu – Kabinet masih belum membincangkan cadangan Majlis Pemulihan Negara (MPN) untuk membuka semula sempadan negara menjelang 1 Mac, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) masih belum memberikan maklum balas mengenai cadangan itu kepada Kabinet untuk dinilai.
“Kita mesti mencari keseimbangan antara mahu melindungi industri pelancongan dan kesihatan rakyat, jadi Kementerian Kesihatan akan menelitinya secara terperinci dan mencadangkan langkah seterusnya kepada Kabinet.
“Setakat hari ini, sempadan kita masih ditutup… belum ada perbincangan untuk dibuka semula,” kata Ismail Sabri.
Pada Selasa, Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia telah mengesyorkan kepada kerajaan untuk membuka semula sepenuhnya sempadan antarabangsa negara seawal 1 Mac.
Ismail Sabri berkata, satu-satunya pembukaan setakat ini (untuk perjalanan bebas kuarantin) adalah di sempadan Malaysia-Singapura melalui Lorong Perjalanan Bervaksin (VTL).
Menurutnya, kerajaan sedar akan kesusahan yang dihadapi industri pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19, namun tidak mahu kemasukan pelancong asing menyebabkan kes di negara ini meningkat.