Berita Utama

Kerajaan pantau 92 projek ‘sakit’ seluruh negara

Projek berlaku kelewatan melebihi waktu ditetapkan

JELI, 10 Rejab 1443H, Sabtu – Kerajaan sedang memantau 92 projek ‘sakit’ di seluruh negara yang berlaku kelewatan melebihi waktu ditetapkan iaitu dalam tempoh dua bulan atau 20 peratus berbanding jadual pelaksanaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata kesemua projek ‘sakit’ ini sedang dipantau oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri.

Beliau berkata antara punca utama dikenal pasti menjadi penyumbang kepada masalah itu adalah kelewatan penyiapan projek kontraktor dan perunding serta isu-isu pelaksanaan projek seperti masalah koordinasi antara klien, agensi pelaksana dan pihak ketiga.

“Sebanyak 22 projek ‘sakit’ dan bermasalah adalah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia iaitu paling banyak berbanding dengan kementerian lain.

“Manakala mengikut negeri pula, Sabah mempunyai projek ‘sakit’ dan bermasalah paling tinggi iaitu sebanyak 16 projek,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Projek Bukit Bunga Bypass di Bukit Bunga, di sini hari ini.

Mustapa berkata kerajaan telah mengambil tindakan sewajarnya untuk memantapkan kriteria pemilihan dan pelantikan kontraktor serta perunding selain meningkatkan kemahiran penjawat awam dalam menguruskan projek pembangunan negara.

“Kita (kerajaan) memandang serius terhadap isu-isu berkaitan penyelarasan dalam pelaksanaan projek dan ingin menekankan bahawa semua pihak berkepentingan haruslah bergerak seiring secara terancang dan bersepadu.

“Ini penting bagi memastikan pencapaian matlamat pelaksanaan projek pembangunan negara dapat dicapai dengan jayanya,” katanya.

Beliau berkata ketika ini kerajaan turut memantau rapi semua projek dilaksanakan di bawah Jawatankuasa Tertinggi Pemantauan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi memastikan projek terbabit dapat dilaksanakan mengikut jadual sekali gus menyumbang kepada pertubuhan ekonomi negara. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button