Berita Utama

Khaled Nordin ‘kasihankan’ Muhyiddin

‘Tidur tak lena, mandi tak basah kerana dibayangi kluster mahkamah’

KUALA LUMPUR, 10 Rejab 1443H, Sabtu -Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Khaled Nordin menyatakan beliau berasa ‘kasihan’ terhadap bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana terus dibelenggu dengan kluster mahkamah.

Beliau berkata demikian selepas Muhyiddin mengeluarkan kenyataan semalam bahawa satu-satunya cara untuk menghalang kluster mahkamah daripada kembali berkuasa adalah dengan menewaskan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Khaled berkata, Muhyiddin terus terbelenggu dengan istilah ciptaan beliau iaitu ‘kluster mahkamah’ sedangkan seluruh negara sudah jauh bergerak, mencari kestabilan, memulih ekonomi dan mencipta masa depan.

“Saya kasihan benar dengan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ini. Benar-benar beliau ketandusan kecerdasan. 

“Siang dan malam, tidur tak lena, mandi tak basah kerana dibayangi dengan ‘kluster mahkamah’.

“Rupanya penglibatan Bersatu dalam PRN Johor hanya untuk menentang ‘kluster mahkamah’. Tiada rencana konkrit, lakaran masa depan dan cita-cita yang segar.

“Yang lagi pelik adalah, tiada seorang pun yang beliau gelar ‘kluster mahkamah’ itu bertanding di Johor atau ada kena mengena dengan pentadbiran kerajaan Johor,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini. 

Khaled berkata, Muhyiddin tidak sepatutnya mengheret rakyat Johor ke kancah ketidaksukaan beliau terhadap tokoh tertentu.

Katanya, perkara utama kepada rakyat Johor adalah mencari kerajaan yang stabil dan boleh memulihkan semula ekonomi.

“Bekas Perdana Menteri kelapan sedang berhadapan dengan krisis paling besar dalam perjalanan politik beliau.

“Setelah kehilangan sokongan sebagai Perdana Menteri, tewas di Melaka, gagal bertapak di Sarawak, kecundang dalam usaha memikat kerjasama dengan UMNO, beliau kini hanya ada Pas sebagai sandaran.

“Ini kerana dari sehari ke sehari, semakin ramai pimpinan dan ahli Bersatu keluar meninggalkan parti. Karma talkin beliau terhadap UMNO kembali menghantui Bersatu. Semuanya ciptaan beliau sendiri, bukan orang lain,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button