Berita Utama

Pelan Integriti Nasional perlu diperkasakan semula

Melalui kaedah pelaksanaan begini boleh kukuhkan integriti dalam pentadbiran awam direalisasikan

BANGI, 10 Rejab 1443H, Sabtu – Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) perlu memperkasakan semula Pelan Integriti Nasional melalui Institut Integriti Malaysia (IIM) bagi mengukuhkan integriti dalam pentadbiran awam.

Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) berkata, peranan IIM sebagai arkitek integriti negara perlu dipulihkan dan bukan sekadar berfungsi sebagai perunding latihan serta pensijilan.

“Ketua Setiausaha di setiap kementerian dan ketua pengarah agensi juga perlu memberikan lebih komitmen dalam menjayakan agenda integriti nasional tanpa bergantung harap sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau GIACC.

“Hanya melalui kaedah pelaksanaan sebegini diyakini boleh pengukuhan integriti dalam pentadbiran awam dapat direalisasikan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

MCW menegaskan, kunci kejayaan negara maju melawan rasuah sehingga menjadi makmur ialah ketinggian integriti penjawat awamnya.

“Mereka mempunyai sifat itu kerana mencontohi amalan pemimpin negara dan ahli politik yang mahukan integriti dan melaksanakannya dalam segala aspek kehidupan,” katanya.

Susulan itu, beliau berkata, MCW menyambut baik komitmen dan kesedaran penjawat awam sebagaimana dinyatakan dalam Amanat KSN itu.

“Rakyat mahu penjawat awam membuat perubahan dan membuktikan mereka masih boleh diharapkan.

“Tindakan segelintir penjawat awam melakukan rasuah adalah barah yang perlu segera dibanteras.

“Semoga amanat KSN yang mewakili penjawat awam akan menjadi realiti demi masa depan negara ini,” katanya.

Terdahulu, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali mengingatkan penjawat awam bahawa kegagalan mempertahankan nilai integriti akan menyebabkan perkhidmatan awam dipandang hina dan jelek.

Justeru beliau meminta semua ketua jabatan dan penjawat awam melipatgandakan usaha memperkukuhkan integriti serta tadbir urus menerusi pelaksanaan inisiatif di bawah pelan antirasuah organisasi (OACP) yang dibangunkan agensi masing-masing.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button