Berita Utama

PRN Johor: Muhyiddin tak tanding bukan kerana takut

Beri laluan muka baharu, pastikan lawan tak bentuk kerajaan

KUALA TERENGGANU, 10 Rejab 1443H, Sabtu – Ahli Majlis Tertinggi (MT) Bersatu, Datuk Razali Idris menegaskan keputusan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bulan depan, bukanlah disebabkan takut tewas.

Sebaliknya, keputusan berkenaan dibuat adalah untuk menumpukan kerja keras ke seluruh Johor bagi memastikan parti lawan tidak berjaya membentuk kerajaan.

“Tidak timbul soal tewas tetapi Muhyiddin mahu memberi laluan kepada muka baharu untuk bertanding di Dun Gambir.

“Beliau yang juga memutuskan hanya seorang calon daripada parti itu diketengahkan untuk bertanding, sama ada di kerusi DUN atau Parlimen,” katanya.

Razali juga berkata, tindakan untuk meletakkan seorang calon bertanding sama ada di kerusi DUN atau Parlimen itu adalah bagi membolehkan mereka memberi sepenuh tumpuan untuk pembangunan di kawasan diwakili.

Malah sebelum ini, Muhyiddin sendiri menjelaskan beliau tidak akan bertanding bagi mempertahankan kerusi yang disandangnya sebelum ini.

Jelasnya, beliau mahu memberikan tumpuan sepenuh masa kepada yang lebih utama iaitu Parlimen, menguruskan parti pada peringkat pusat dan menyampaikan mesej perjuangan yang sebenar.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Muhyiddin menang di DUN Gambir selepas memperoleh majoriti 3,088 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk M Asojan serta calon PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamed.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button