Berita Utama

Setiap kes kematian OKT dalam tahanan disiasat secara teliti: PDRM

Kertas siasatan diserah kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi dapatkan nasihat

KUALA LUMPUR, 10 Rejab 1443H, Sabtu – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius setiap kes kematian dalam tahanan dan mengambil tindakan komprehensif bagi memastikan setiap kes disiasat secara teliti, kata Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Azri Ahmad.

Katanya PDRM akan memajukan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi memastikan segala aspek siasatan dilengkapkan dengan mematuhi segala prosedur siasatan berhubung kes kematian dalam tahanan menurut Kanun Tatacara Jenayah dan Arahan Amalan Bilangan (2) Tahun 2019.

“Dalam konteks ini, amalan merujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya adalah bagi mendapatkan nasihat lanjut dan pandangan berhubung prosedur siasatan. Amalan ini bagi memastikan semua peruntukan undang-undang telah dipatuhi dan siasatan adalah lengkap,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya kertas siasatan yang lengkap akan dimajukan dengan kadar segera kepada Mahkamah Koroner untuk tindakan lanjut.

Pada Rabu lepas, PDRM mengesahkan terdapat tujuh kes kematian Orang Kena Tahan (OKT) dengan hanya satu kes melibatkan unsur jenayah.

Tujuh kes yang dilaporkan itu, empat daripadanya merupakan kematian dalam lokap dan dua lagi kes meninggal dunia di hospital manakala satu kes melibatkan kematian ketika OKT dalam perjalanan ke hospital. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button