Berita Utama

Tok Bali bakal jadi pelabuhan hab halal sumber makanan di rantau Asia

Yakin pelabuhan akan jadi pusat perdagangan terkemuka di masa depan

PASIR PUTEH, 10 Rejab 1443H, Sabtu – Kerajaan bercadang untuk menjadikan Tok Bali sebagai pelabuhan hab halal sumber makanan di kawasan rantau Asia pada masa hadapan, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh.

Katanya, melalui Pelabuhan Tok Bali, segala produk halal akan di eksport ke negara luar kerana berada di laluan laut yang cukup strategik dengan beberapa negara lain.

“Rakyat juga tidak perlu bimbang apabila produk yang diimport dari negara China misalnya, ia akan singgah di pelabuhan Tok Bali terlebih dahulu untuk memastikan produk tersebut adalah halal.

“Saya cukup yakin pelabuhan ini akan menjadi pusat perdagangan yang terkemuka suatu hari nanti,” katanya kepada pemberita ketika merasmikan Program Jualan Keluarga Malaysia di Bandar Baharu Pasir Puteh, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Nik Zawawi yang juga merupakan Ahli Parlimen Pasir Puteh berkata, kerajaan juga bercadang untuk membina sebuah kilang sardin di Tok Bali yang akan bermula menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Sebelum ini, Kementerian Kewangan meluluskan insentif cukai khas untuk memacu pelaburan di Kelantan, yang akan memberi manfaat kepada Tok Bali sebagai pusat pertumbuhan baharu di negeri ini dengan memberikan pengecualian cukai pendapatan sebanyak 100 peratus selama 15 tahun dan cukai pendapatan pada kadar istimewa 17 peratus bagi lima tahun berikutnya. – Bernama

 

 

 

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button