Berita UtamaDunia

COVID-19: Vietnam akan tamat sekatan untuk penerbangan antarabangsa

Individu lengkap vaksin perlu kuarantin kendiri selama 3 hari

HANOI, 11 Rejab 1443H, Ahad – Vietnam akan menamatkan sekatan COVID-19 ke atas penerbangan penumpang antarabangsa dengan semua pasaran mulai 15 Februari, tanpa had pada jumlah penerbangan, lapor akhbar Tuoi Tre yang dikendalikan kerajaan pada Ahad.

Negara Asia Tenggara itu mengenakan kawalan sempadan yang ketat pada permulaan pandemik bagi mengelakkan penularan COVID-19 dan meraih kejayaan pada awalnya.

Bagaimanapun ia memberi tamparan kepada sektor pelancongan yang menyumbang kira-kira 10 peratus daripada keluaran dalam negara kasar.

“Vietnam akan menarik balik sekatan ke atas penerbangan antarabangsa mulai 15 Februari. Kekerapan penerbangan akan dikembalikan ke tahap pra-pandemik,” kata Tuoi Tre memetik Timbalan Pengarah Pentadbiran Penerbangan Awam Vietnam, Dinh Viet Son.

Katanya, Vietnam sudah pun memaklumkan kepada rakan-rakan kongsinya mengenai dasar baharu itu dan hanya China yang belum lagi bersetuju untuk menyambung semula khidmat penerbangan komersial dengan Vietnam.

Vietnam mula menyambung semula penerbangan antarabangsa secara berperingkat dengan 15 pasaran mulai awal tahun ini, termasuk melonggarkan keperluan kuarantin.

Para penumpang yang sudah lengkap divaksin kini hanya perlu menjalani kuarantin kendiri selama tiga hari.

Negara itu merekodkan hampir 2.5 juta kes COVID-19 sejak pandemik bermula dan kira-kira 39,000 kematian direkodkan.

Menurut data rasmi, hampir 98 peratus daripada 98 juta penduduknya sudah menerima sekurang-kurangnya dua dos vaksin. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button