Berita Utama

UMNO Kedah perlu nilai semula hubungan dengan PAS

Kerana kenyataan Sanusi, hubungan UMNO-PAS makin keruh?

BANGI, 11 Rejab 1443H, Ahad – Hubungan antara UMNO dan PAS dilihat semakin rumit apabila suasana di Kedah pula seperti ‘keruh’, susulan kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor baru-baru ini.

Sebelum ini, Muhammad Sanusi berkata, kestabilan politik dalam negara hanya boleh dicapai sekiranya UMNO tidak lagi memerintah.

Menurut Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat itu, sekiranya banyak kerusi yang dimenangi UMNO, maka negara dan pentadbiran kerajaan negeri akan menjadi tidak stabil kerana mereka sibuk berebut kuasa dan boleh sesuka hati mengadakan pilihan raya seperti yang berlaku di Melaka dan Johor.

Justeru, katanya, satu-satunya formula untuk memastikan kestabilan politik negara dan negeri adalah dengan memastikan Barisan Nasional (BN) memenangi sedikit sahaja kerusi.

Susulan itu, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Merbok, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin menggesa UMNO Kedah menilai semula hubungan bersama PAS di negeri berkenaan.

Beliau menyifatkan, kenyataan Muhammad Sanusi bukan sahaja liar dan kasar, bahkan jelas menggambarkan persepsi serta pandangan PAS terhadap UMNO yang sekali gus boleh menjadi penanda aras pada kedudukan Muafakat Nasional (MN).

“Kerajaan PAS di Kedah itu terbentuk dengan sokongan UMNO. Malah, dalam kebanyakan kerajaan sama ada di peringkat Pusat dan negeri, UMNO adalah entiti yang sama-sama membentuk Kerajaan.

“Benar, tanpa UMNO masih ada kerajaan di sesetengah negeri akan kekal memerintah. Namun, untuk menyatakan bahawa tanpa UMNO, semua kerajaan ini dan politik kita akan lebih stabil, adalah tidak berasas dan tidak berpijak di bumi yang nyata.

“Saya harap YAB Menteri Besar melihat kembali keadaan ini, dengan berdasarkan fakta dan realiti semasa. Bukannya dipandu oleh emosi yang dilampiaskan sesedap rasa menjelang musim pilihanraya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Berdasarkan kedudukan ini, Shaiful percaya wujud keperluan untuk UMNO Kedah menilai semula hubungannya dengan PAS.

Katanya, adalah tidak produktif jika kedua-dua parti terus-menerus cuba berpura-pura bahawa boleh bekerjasama, sedangkan yang terlihat saban hari adalah kerapuhan demi kerapuhan yang seakan tidak boleh diselamatkan.

“Kedua-dua parti ini harus tegas dan jelas dalam pendirian masing-masing. Jika ingin memilih haluan berbeza, nyatakan. Jika terus mahu bekerjasama, berperangailah dengan cara yang menggambarkan niat tersebut dan bukan sebaliknya. Bukan terus bermusuh, berhujah ibarat gelegar buluh.

“PAS harus berhenti berlagak sombong. Dan UMNO mesti berani mengambil ketetapan bermaruah,” katanya.

Beliau secara peribadi mengakui tidak melihat wujud potensi dan masa depan yang baik daripada hubungan sedia ada.

“Pada pandangan pemimpin kecil seperti saya, UMNO Kedah seharusnya buat keputusan sekarang, dan keangkuhan Menteri Besar perlu diberi pengajaran yang setimpal,” katanya.

Kenyataan Muhammad Sanusi itu turut dibidas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini yang menegaskan tidak timbul isu kerajaan akan menjadi lebih stabil jika UMNO tidak menjadi kerajaan.

Ismail Sabri berkata, kerajaan kini adalah kerajaan UMNO dan beliau sendiri adalah perdana menteri dari UMNO, yang mendapat sokongan dari rakan-rakan parti lain.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button