Berita Utama

24 individu terima anugerah darjah kebesaran Terengganu

KSN dahului senarai penerima

KUALA TERENGGANU, 11 Rejab 1443H, Ahad – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin hari ini berkenan mengurniakan bintang dan darjah kebesaran negeri Terengganu kepada 24 individu bagi 2021.

Turut berangkat ke istiadat tersebut yang berlangsung di Istana Sharqiyyah, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali mendahului senarai 24 penerima apabila dianugerahkan Darjah Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZ), yang membawa gelaran Datuk Seri.

Seramai 19 individu dianugerahkan Darjah Datuk Paduka Mahkota Terengganu (DPMT) yang membawa gelaran Datuk, termasuk pelumba basikal negara Azizulhasni Awang; Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Kasemani Embong; Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang, Dr Nor Azimi Yunus dan Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Datuk Dr Mazlan Abd Ghaffar.

Sultan Mizan juga berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Setia Mahkota Terengganu Yang Amat Dihormati (SMT) kepada empat penerima termasuk Pakar Patologi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Dr Fatimah Haslina Abdullah dan Pengarah Hospital Hulu Terengganu, Dr Mohamad Yurzi Mat Rani @ Ghani. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button