Berita UtamaDunia

5 kakitangan PBB diculik lelaki bersenjata di Yaman

Insiden berlaku ketika perjalanan pulang dari misi turun padang

KAHERAH, 11 Rejab 1443H, Ahad – Lima kakitangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) diculik di selatan Yaman ketika dalam perjalanan pulang ke Aden selepas melakukan misi turun padang.

Jurucakap pegawai tertinggi PBB di Yaman, Russell Geekie berkata, kesemua kakitangan itu diculik di wilayah Abyan pada Jumaat lepas.

“PBB sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa untuk memastikan mereka dibebaskan,” katanya.

Seorang pegawai di pejabat PBB di Aden memberitahu Reuters bahawa empat daripada mereka yang diculik adalah warga Yaman.

Sementara itu, agensi berita rasmi memetik kenyataan Kabinet semalam sebagai berkata, kerajaan Yaman sedang berusaha untuk membebaskan kakitangan PBB yang dipercayai diculik lelaki bersenjata tidak dikenali.

Yaman dilanda keganasan sejak gerakan Houthi yang bersekutu dengan Iran menggulingkan kerajaan dari ibu negara, Sanaa pada akhir tahun 2014, mendorong pakatan tentera diketuai Arab Saudi untuk campur tangan beberapa bulan kemudian.

Konflik di Yaman sudah meragut puluhan ribu nyawa dan mencetuskan krisis kemanusiaan yang teruk.

Dilaporkan, 80 peratus penduduk Yaman bergantung kepada bantuan luar. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button